Membawang Hari Ini

Rosyam, anak serikan Festival Muslimah BH

TIDAK hanya pelakon, pengarah, penerbit dan usahawan, Datuk Rosyam Nor akan hadir berkongsi pengalaman serta ilmu perniagaannya menerusi slot Tips Memburu Kejayaan di Fiesta Muslimah BH 2014 pada 23 November ini, malah lebih istimewa lagi apabila anak keduanya, Nur Anis Mohd Noor, 21, turut memberi sokongan untuk acara itu.

Anak aktor terkenal itu akan membuka gerai jualan produk berimej muslimah miliknya yang diusahakan di bawah jenama, Bidadari Contemporary.

Rosyam dan Nur Anis begitu teruja kerana buat julung kalinya mereka akan bersama di bawah penganjuran acara yang sama. Ditemui pada sidang media Fiesta Muslimah BH 2014, di Balai Berita, Bangsar, Khamis lalu, mereka akui bagaikan tidak sabar untuk menyerikan lagi festival berkenaan yang bakal berlangsung di Zebra Square, Kuala Lumpur.

Promosi produk

Mana tidaknya, perusahaan Bidadari Contemporary baru saja berusia sembilan bulan, justeru adanya pendedahan menerusi festival sebegini, secara tidak langsung membantu mempromosikan produknya yang merangkumi tudung dan aksesori. Gembira apabila anaknya perlahan-lahan berkecimpung dalam dunia perniagaan, Rosyam menyatakan idea berniaga dalam talian itu sudah lama diutarakan olehnya tetapi baru tahun ini direalisasikan.

“Sebenarnya, idea itu timbul lima lalu tahun di mana saya menyuruh anak sulung saya, tetapi disebabkan dia berkahwin, jadi dia tidak dapat memberi komitmen. Mujur Anis berminat, jadi dia ambil peluang ini sebab saya memang menggalakkan anak-anak saya berniaga. Tambah lagi, bila kita bercakap pasal islamik, tak kira dari penganjuran program hinggalah ke fesyen, semuanya disambut positif.

Dekat dengan Islam

“Fesyen muslimah bukan lagi satu kesukaran tapi sudah jadi satu trend, malah sebab ini juga orang semakin dekat dengan Islam. Adanya fiesta islamik sebegini, dianjurkan oleh sebuah akhbar Melayu yang kuat pengaruhnya, pastinya ia akan menjadi satu agenda besar nanti.

“Selain itu, saya juga akan terbabit, saya akan berkongsi pengalaman saya sebagai seorang peniaga, jatuh dan bangunnya saya dalam bidang ini. Saya harap slot saya nanti tidak hanya akan menarik barisan vendor saja, tapi juga golongan belia. Slot saya akan bermula jam 4 petang dan saya harap ramai orang luar turut hadir nanti,” ujar Rosyam.

Bukan hanya itu , Fiesta Muslimah BH 2014 turut disertai usahawan dalam talian seluruh negara serta selebriti terkenal tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, Hafiz Hamidun, Norman Hakim, Memey Suhaiza dan Alyah serta pereka fesyen terkenal, Calvin Thoo yang akan memperagakan 28 koleksi baju Muslimah rekaannya.

Sementara itu, turut teruja menyertai program yang bermula dari jam 10 pagi hingga 6.30 petang ini adalah pelakon, pengacara dan usahawan, Yatt Hamzah. Yatt akan membuka sebuah gerai jualan bagi menjual pakaian muslimah jenamanya, Suci By Yatt Hamzah, serta mengadakan tutorial pemakaian tudung.

Yatt bukanlah asing bagi program sebegini, justeru berpeluang menjadi sebahagian Fiesta Muslimah BH 2014 adalah satu peluang perniagaan yang tidak akan ditolaknya. Malah, Yatt akan meluangkan hari berkenaan khas bagi mendekatkan dirinya bersama pembeli dan peminatnya.

“Kalau dulu, bagi program-program hiburan, selebriti akan turun selama sejam saja untuk berjumpa peminat, tetapi tidak untuk program ini saya akan berada di sana seharian. Mungkin ini hikmah selepas saya berhijrah, kita pandang orang pun dengan kasih sayang, jadi saya tidak kisah meluangkan masa seharian untuk bertemu orang ramai nanti.

Jual sambil jumpa peminat

“Ini juga hikmah dalam berniaga, di mana kita dapat berjumpa dengan peminat kita di samping berjual beli. Berniaga ini pertamanya untuk ekonomi sendiri, keduanya untuk berdakwah. Malah, pakaian muslimah kini lebih bergaya berbanding dulu, kita pun mahu memberi kesedaran kepada orang supaya usah ragu-ragu memakai tudung.

“Untuk aktiviti dakwah seperti ini memang saya teruja, tak pernah saya tak teruja, malah saya juga gembira dan tidak sabar untuk memeriahkan acara nanti,” katanya yang menguruskan Suci By Yatt Hamzah sejak Jun tahun lalu.

Program sehari anjuran akhbar BH itu akan menggabungkan pelbagai aktiviti berkaitan industri fesyen muslimah di bawah satu bumbung seperti pertunjukan fesyen busana muslimah, slot bual bicara bersama usahawan wanita berjaya, usahawan dalam talian dan blogger serta tutorial pemakaian tudung.

Banyak gerai jualan

Sebanyak 25 gerai jualan akan menawarkan pelbagai produk fesyen muslimah turut disediakan. Pengunjung juga berpeluang mengikuti slot Refleksi Muslimah dan Hijrah Selebriti bersama penceramah bebas, Ustazah Isfaduah Dasuki serta pelakon, Norman Hakim dan isterinya, Memey, selain slot Klik dan Jana bersama blogger terkenal, Budiey dan usahawan dalam talian, Cufica.

Pihak penganjur turut menyediakan demo masakan oleh bekas Juara Masterchef Malaysia yang pertama, Dr Izani Farhana, perkongsian kisah suka duka pengasas Bakawali, Nor Rizalina Azhar, membangunkan perniagaan tudungnya serta bersama blogger fesyen, Aida Sue, ikon muda yang terkenal dengan aktiviti amal.

-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");