Sukan Hari Ini

‘Sasar separuh akhir’

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan negara, Chong Wei Feng (gambar) tidak berani meletakkan sasaran tinggi di Piala Axiata 2014 bermula Khamis ini, sebaliknya fokus membantu Malaysia mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir.

Wei Feng yang bakal menggalas tugas perseorangan utama, mengakui mereka mahu mempertahankan kejuaraan kejohanan berpasukan termahal itu, namun perkara itu bukan senang, ditambah pula dengan ketiadaan pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

“Kami sasar separuh akhir terlebih dulu kerana perlu bertemu dengan semua pasukan termasuk Indonesia dan Pilihan Asia,” kata pemain kelahiran Sungai Petani itu selepas sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Walaupun beraksi empat perlawanan (perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan campuran) ia bukan mudah kerana tidak ada perlawanan beregu wanita.

“Thailand juga kuat, tetapi saya rasa boleh membawa tekanan ini, ditambah dengan rakan sepasukan yang mempunyai pengalaman,” katanya yang baru dari menyertai Siri Super Premier Terbuka China dan Siri Super Terbuka Hong Kong.

Ditanya mengenai persediaan, Wei Feng berkata, secara keseluruhan dia berpuas hati dengan corak permainannya cuma perlu memperbaiki kelemahan tidak mampu fokus walaupun selepas mendahului lawan.

“Selepas mendahului lawan saya tidak boleh menang, mungkin dari segi taktik ataupun kurang bernasib baik,” katanya.

Selain Wei Feng, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yurut menyenaraikan Liew Daren, Tee Jing Yi, Ho Yen Mei, Hoon Thien How, Tan Boon Heong, Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon, Tan Aik Quan, Lai Pei Jing dan Ng Hui Lin.

Chong Wei membantu Malaysia muncul juara tahun lalu, namun dia tidak boleh beraksi pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1 juta (RM3.3 juta) itu, kerana digantung sementara Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");