Sukan Hari Ini

Selhurst Park terus menghantui Liverpool

LONDON: Selhurst Park terus menjadi gelanggang igauan buruk buat Liverpool apabila dua gol lewat dirakam Crystal Palace untuk membenam pasukan pelawat 3-1 pada pertemuan Liga Perdana Inggeris, semalam.

Pada musim lalu, Liverpool gagal untuk merebut kejuaraan liga apabila seri 3-3 meskipun mendahului 3-0 juga di Selhurst Park, namun malam tadi Palace sekali lagi mengecewakan skuad kendalian Brendan Rodgers itu.

Liverpool terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Rickie Lambert yang juga jaringan pertamanya untuk Liverpool seawal minit ke-2 permainan.

Bagaimanapun tuan rumah bangkit menerusi gol penyamaan Dwight Gayle pada minit ke-17. Gayle juga menyumbang dua gol pada pertemuan musim lalu yang berkesudahan seri 3-3.

Meskipun pasukan pelawat menguasai serangan, Ledley dan Jedinak meledak pada 12 minit terakhir permainan untuk memastikan Liverpool pulang dengan tangan kosong.

Keputusan semalam juga menyaksikan Liverpool mencatat tiga kekalahan berturut-turut untuk pertama kali sejak April 2012.

“Tahap keyakinan pemain amat rendah ketika ini dan saya fikir rentak permainan dan jentera asakan kami sudah menurun,” kata Rodgers.

“Secara jelas, usaha untuk mendapatkan jaringan begitu kurang namun kami tidak mempersalahkan sesiapa. Sebagai pengurus, saya bertanggungjawab sepenuhnya berhubung perkara ini,” katanya.

Skuad Rodgers yang ditangga kedua di belakang juara liga Manchester City musim lalu, kini berada di kedudukan ke-12, perbezaan 18 mata daripada pendahulu liga, Chelsea. – AFP-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");