Membawang Hari Ini

Terpukau kecekalan Krisdayanti

Ketepikan kontroversi pernah mencalar imej penghibur bertaraf diva ini beberapa tahun lalu, kerana bagi penulis dia masih seorang diva.

Tersungkur sambil bersaksikan hampir 2,000 penonton dan bangkit meneruskan persembahan seolah tiada apa yang berlaku, momen seperti itu hanya yang cekal dan tinggi semangat juang saja mampu mengendalikannya dengan baik.

Dugaan saat menyanyikan Mahadaya Cinta, seleksi lagu pembuka bagi segmen Broadway itu, menuntut Krisdayanti mengumpul semula segala energi ke pentas yang terjejas gara-gara persembahan nyanyiannya terganggu selama 15 minit.

Dimana sebelum itu berlaku gangguan teknikal yang merencatkan sedikit kelancaran Krisdayanti Live in KL 2014 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam Sabtu lalu.

Kejadian berlaku sejurus paduan suara Ratu Jazz Malaysia, Datuk Sheila Majid dan Krisdayanti secara spontan menggegarkan dewan menerusi lagu Sinaran yang mendapat sorakan gemuruh penonton. Sekali gus menjadi antara momen manis tercipta di konsert itu.

Dua insiden yang belum pernah berlaku sepanjang 16 tahun merencana karier muziknya disini, boleh ditafsir sebagai simbolik kerjaya seninya yang pernah mengalami zaman kejatuhan namun bangkit semula. Usaha dan perjuangan seninya masih membara dibuktikan dengan perlaksanaan konsert ini.

“Keadaan lantai memang agak licin sejak sesi latihan lagi dan kerana itu juga saya memilih untuk memakai sepasang sepatu saja yang paling selesa kerana saya juga perlu menukar beberapa persalinan.

“Mungkin keadaan ini juga berlaku kerana mahu mengumpul semula segala tenaga yang pada awal energi begitu tinggi saat berduet bersama Datuk Sheila, terjejas apabila timbul masalah teknikal sesudah persembahan kami.

“Ternyata energi saya tidak sampai dan belum cukup untuk mengatasi kekecewaan di atas masalah yang berlaku. Barang kali saya terlalu mendesak diri sehingga hilang fokus.

“Namun saya bangkit meski tersisa rasa malu, kerana memikirkan penonton sanggup melaburkan wang dan bersusah payah datang kemari

menyaksikan saya bukan untuk melihat semua ini. Sokongan mereka yang tidak berganjak atau meninggalkan dewan sewaktu masalah teknikal berlaku memberi semangat untuk saya meneruskan persembahan,” katanya pada sesi sidang media sejurus konsert berakhir.

Akuinya, dia tidak pernah membayangkan hal seperti itu akan berlaku dalam persembahannya kerana menjadi pegangan seorang penghibur, mahukan kesempurnaan nyanyian dan persembahan muzik secara keseluruhan.

“Dua kejadian malam ini akan menjadi satu sejarah buat saya. Hal seperti ini tidak pernah saya bayangkan berlaku dalam persembahan saya. Pernah sekali terjadi masalah teknikal sebelum ini tetapi tidak lama seperti malam ini. Terhenti 15 minit, tempoh yang cukup lama.

“Mungkin Tuhan memberikan saya sedikit dugaan malam ini. Ia suatu hal yang tidak berupaya untuk dielak kerana dalam berharap memberikan persembahan yang sempurna, saya juga harus sedia membiarkan peminat dan penonton melihat kecelaan dalam persembahan saya.

“Samalah hal ini dengan kehidupan sehari-hari. Kadang sesuatu hal yang kita enggan ia berlaku tetapi tetap terjadi,” katanya tenang.

Jelas penyanyi kelahiran Batu, Jawa Timur berusia 39 tahun itu, semasa sedang bersolek di bilik persalinan, anak gadisnya, Tatiana Aurelie (Aurel), 16, yang ditampilkan sebagai penyanyi undangan, sempat menunjukkan foto-foto penghibur antarabangsa yang pernah terjatuh ketika membuat persembahan.

Melalui rujukan RAP sendiri, penyanyi antarabangsa kelahiran Australia, Iggy Azalea pernah berdepan situasi sama ketika menyanyikan lagu Fancy di Avalon, Los Angeles, awal tahun ini. Hal yang sama turut dialami Rihanna pada 2010 ketika menyampaikan lagu Te Amo di konsertnya di United Kingdom.

Ternyata kejadian seperti ini bukan sesuatu yang luar biasa dan detik cemas itu turut dilalui Beyonce Knowles, Robbie Williams dan Pink dan ramai lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan One Drop Perfumes, Datuk Seri Josafri Johari memuji sikap Kris yang cukup profesional dan cekal meneruskan persembahan. Malah, menyifatkannya seorang penghibur yang sangat mudah berurusan selain tidak cerewet untuk memberikan kerjasama.

Apa yang pasti, testimoni Kris sebagai penghibur profesional menjadikan Konsert Krisdayanti Live in KL 2014 sebagai santapan muzik dua negara, mencapai matlamat.

Khususnya bagi segmen nyanyian secara spontan bersama Datuk Sheila yang diberi gelaran Ratu Jazz termasuk Datuk Siti Nurhaliza (Ratu Pop) berpadu suara melagukan Jika Kau Tak Datang dan Kris sendiri dikenali sebagai Ratu Pop Indonesia, menyaksikan penyatuan dua negara yang cukup hebat.

Persembahan bermula seawal jam 8.30 malam itu dibuka dengan seleksi lagu rancak, Rembulan dan Ratu Cinta. Seterusnya Learning From Love yang membawa kejayaan kepada Diva kelahiran Batu, Jawa Timur itu dalam pertandingan Asia Bagus pada 1992.

Kemudian Kris menampilkan anak gadisnya Aurel menerusi persembahan me-nyentuh perasaan mendengdangkan lagu Cinta, Makin Aku Cinta dan Tak Pernah Menyesal. Diikuti segmen ‘Legenda’ di mana Kris menyanyikan lagu Getaran Jiwa sebagai aprisiasi terhadap Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Sinaran khusus buat idola, Datuk Sheila yang pernah muncul sebagai juri pada final Asia Bagus yang disertainya.

Untuk segmen ‘Broadway’ pula, penyanyi yang mencipta nama di Malaysia pada 1998 ini menyampaikan lagu Mahadaya Cinta, Pilihlah Aku, Mencintaimu, Ku Tak Sanggup, I’m Sorry Goodbye dan Rembulan.

Berterusan dengan persembahan solo daripada penyanyi undangan Hafiz Suip yang membawakan lagu solonya, Matahari, mereka berdua mengotakan janji untuk berpadu suara menerusi Ombak Rindu dan Cinta.

Seleksi lagu hit lain turut disampaikan Kris pada malam itu, Cahaya, Aku Wanita Biasa, , Doaku Harapanku, Cobalah Untuk Setia, Yang Kumau, Hati Ini Telah Di Lukai, Pengabadian Cinta dan Bertubi-Tubi sebelum mengakiri persembahan dengan Ratu Cinta.

Konsert dipimpin Alvin Loebis selaku Pengarah Muzik membabitkan 11 pemuzik dikenali sebagai Aluna Band itu berdurasi hampir 120 minit dan dihadiri kira-kira 2000 penonton.

Ia sebuah konsert tajaan syarikat pewangi tanpa alkohol One Drop Perfumes Sdn Bhd.

Sama menyokong penganjuran konsert berkenaan adalah Hotel Royale Chulan selaku penaja penginapan rasmi.

Harian Metro dipilih sebagai akhbar rasmi konsert ini manakala stesen radio Hot FM sebagai radio rasmi.-hmetro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");