Membawang Hari Ini

Zizan Razak, Faizal Ismail hos Anugerah Industri Muzik ke-21

KUALA LUMPUR: Gandingan Zizan Razak dan Faizal Ismail terus mencuri tumpuan dan hari ini kedua-duanya diumumkan sebagai hos Anugerah Industri Muzik ke-21.

Sebelum ini gandingan mereka sudah disaksikan menerusi Akademi Fantasia 2014 yang baru saja berakhir.

Di sebalik yang senang dengan gandingan mereka, ada juga yang tidak berpuas hati.

Bahkan Zizan dilihat tidak bersesuaian mengacarakan acara berprestij itu kerana lebih cenderung berlawak berbanding Faizal yang dilihat mempunyai kredibiliti mengemudi acara itu.

Pengurus Saluran Astro Ria dan Astro Maya HD, Raqim Ahmad berkata, keputusan mengekalkan mereka untuk anugerah ini diukur dari keserasian yang wujud ketika di Akademi Fantasia 2014.

“Dari minggu ke minggu Zizan dan Faizal berjaya mencipta keserasian tersendiri dan sebab itu pihak Astro putuskan untuk mengekalkan mereka.

“Diharap pemilihan mereka akan menghangatkan lagi malam kemuncak. Tak dinafikan kami juga mengharapkan rating yang baik untuk anugerah ini.

“Selain hos yang menjadi nadi, skop lain daripada pengisian persembahan dan penyampai trofi menjadi formula untuk meneruskan kegemilangan acara ini,” kata Raqim.

Zizan yang ditanya isu mengenai beliau yang dikatakan gemar menenggelamkan kehadiran Faizal menafikan wujud perkara demikian ketika mereka mengendalikan Akademi Fantasia 2014.

“Tiada langsung niat sebegitu. Saya minta maaf kalau saya seperti yang disangka.

“Saya juga berharap akan diberi peluang untuk mengendalikan anugerah ini. Saya juga bukan sekadar melawak dan berlakon saja kerana saya turut bergelar penyanyi.

“Jadi serba sedikit saya sudah mula ambil tahu mengenai muzik yang menjadi nadi kepada acara berprestij ini,” katanya.

Keputusan pemilihan hos ditentukan sepenuhnya oleh pihak Astro manakala senarai artis membuat persembahan pula menerusi gabungan idea Astro serta jawatankuasa penganjur Anugerah Industri Muzik.

Antara penyampai anugerah yang diberi mandat pada malam itu nanti ialah Adibah Noor, Aisyah Aziz, Alif Satar, Amyra Rosli, Amar Baharin, Mizz Nina dan Noh Hujan.

Antara senarai artis yang membuat persembahan pula seperti Akim & The Majistret, Sleeq, Dayang Nurfaizah, Hazama dan Joe Flizzow.

Anugerah Industri Muzik 21 pada 6 Disember depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra turut akan menampilkan kumpulan dari seberang, Nidji.

Hos Hlive, Dahlia Shazwan dan penyampai radio ERA FM, Haniff juga dipilih sebagai hos red karpet.-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");