Jenayah

17 jam hilang dalam hutan

KULIM – Hasrat lima sekeluarga memancing di lubuk ikan tengas kira-kira 10 kilometer dari Taman Rekreasi Arus Deras Ulu Paip di Mukim Karangan bertukar kenangan buruk apabila mereka sesat di dalam hutan.

Ketua Zon 3 Kulim, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd Hafiz Suhaimi berkata, kelima-lima mangsa terlibat mempunyai hubungan keluarga pergi ke kawasan itu kira-kira jam 9 pagi kelmarin.

“Bagaimanapun, setelah jam 9 malam, kesemua mangsa masih tidak balik ke rumah.

“Curiga dengan keselamatan kesemua mangsa, ahli keluarga membuat laporan polis di balai berhampiran,” katanya.

Katanya, operasi mencari mangsa dijalankan kira-kira jam 10 malam di mana ia turut disertai anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kulim, Rela, Polis, Unit Keselamatan Kampung (UKK) dan penduduk tempatan.

Menurutnya, kira-kira jam 10.30 malam bomba berjaya menghubungi salah seorang mangsa bagaimanapun gagal mengesan lokasi sebenar kedudukan mereka berada.

“Usaha mencari mangsa tetap diteruskan sehingga larut malam walaupun dalam keadaan hujan.

“Dengan di pandu penduduk kampung, kami masuk ke lokasi kejadian dengan menggunakan pacuan empat roda,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Hafiz berkata, kenderaan hanya boleh melalui laluan sejauh tiga kilometer sahaja.

“Kami kemudiannya terpaksa berjalan ke lokasi di mana mangsa dipercayai berada.

“Kira-kira jam 2 pagi semalam, kami berjaya menemui mangsa bagaimanapun kesemua mereka berada dalam keadaan kepenatan dan lesu,” katanya.

Tambahnya, mangsa kemudiannya selamat dibawa keluar dari hutan dan sampai di kawasan operasi kira-kira jam 6.24 pagi.

“Mereka dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. Mangsa terlibat adalah Yussuf Ismail, 62, Embun Majid, 56, Zainab Ismail, 58, Badrul Hisham, 33 dan Sufian Arif, 40.

Usaha Sinar Harian untuk menemu bual mangsa gagal kerana kesemua terlibat berada dalam keadaan trauma dan masih kepenatan.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");