Jenayah

3 kereta sumbat 42 pendatang

Kangar: Seorang lelaki tempatan yang mengetuai konvoi tiga kereta sarat dengan muatan 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk dibawa masuk ke negara ini gagal selepas mereka ditahan dalam sekatan jalan raya di kawasan Kampung Titi Tinggi Ulu, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan ketika memandu satu daripada tiga kenderaan terbabit, sementara dua kereta lagi dipandu PATI kumpulan sama.

Ketua Polis Perlis Datuk Zull Aznam Haron berkata, polis menahan konvoi terbabit berdasarkan maklumat risikan beberapa jam sebelum penahanan suspek dan PATI pada malam terbabit.

“Ketika ditahan, ketiga-tiga kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan itu didapati membawa lebihan penumpang dipercayai PATI.

“Pemeriksaan lanjut mendapati 14 PATI dalam kereta Perodua Myvi iaitu 12 lelaki dan dua wanita.

“Turut ditahan Toyota Avanza yang memuatkan 17 lelaki dipercayai PATI termasuk pemandunya. Sementara satu lagi kereta Proton Persona dipandu warga tempatan membawa 11 PATI.

“Ketika diperiksa, suspek yang dipercayai warga tempatan gagal menunjukkan dokumen perjalanan .sah bagi 42 PATI iaitu 28 lelaki dan dua wanita warga Myanmar dan 12 lelaki warga Bangladesh berusia antara 19 hingga 30 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelantikan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan Narkotik Perlis yang baru di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, di sini, semalam.

Menurut Zull Aznam, siasatan mendapati semua PATI terbabit dipercayai diuruskan sindiket dan dihantar ke Pulau Pinang mencari pekerjaan selepas dijanjikan tawaran gaji lumayan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Pindaan 2010) dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana menjalankan kegiatan menyeludup migran dan kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang sah.

“Mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pada majlis itu, Deputi Superintendan Azizan Said dilantik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis menggantikan Asisten Superintendan Meor Azmi Meor Shamsudin.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");