Perak Hari Ini

4,200 Pelajar Di Perak Dapat Bantuan Awal Persekolahan

IPOH : Seramai 4,200 orang pelajar daripada seluruh Perak telah menerima bantuan awal persekolahan dalam majlis ‘Back To School 2015’.

Program yang bertemakan ‘Bantu Kami Ke Sekolah’ tersebut  dianjurkan oleh Kerajaan Negeri melalui Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dengan kerjasama beberapa pihak yang lain.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, jumlah penerima tersebut meningkat berbanding di awal penganjuran program tersebut pada tahun 2010.

“Pada hari ini sahaja kita telah mengumpulkan 4,200 orang pelajar kesemuanya yang kita kenalpasti melalui Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan mereka yang berdaftar dalam e-kasih.

“Kalau dahulu umpamanya sewaktu YBUDR memulakan program ini, kita hanya dapat memberikan bantuan kepada 120 orang sahaja.

“Tetapi pada kali ini, hasil daripada kerjasama yang baik daripada penganjur serta para penderma yang kita temui dimana mereka telahpun memberikan bantuan ini dan dapat menambah jumlahnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program tersebut di Ipoh, hari ini.

Jelasnya, bantuan tersebut diberikan bertujuan untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh mereka yang datang daripada keluarga yang miskin dan berpendapatan rendah.

“Bantuan ini berbentuk peralatan dan persiapan persekolahan seperti pakaian, peralatan tulis dan juga beg sekolah dimana ia dapat membantu mengurangkan bebanan di kalangan keluarga mereka dan membolehkan mereka menghantar anak-anak ke sekolah.

“Keluarga tersebut terdiri daripada semua kaum termasuk mereka yang dikenalpasti daripada masyarakat Melayu, India dan Cina termasuk Orang Asli,” ujarnya.

Beliau berharap agar bantuan sebegitu dapat ditambah daripada semasa ke semasa melalui program yang dikoordinasikan secara bersama bagi memastikan sumbangan itu dapat diberikan secara adil kepada penerima.

“Harapan saya pada tahun hadapan mungkin kita boleh fikirkan cara lain dengan mencari lebih banyak penganjur untuk membantu dengan melalui kaedah ini seperti mengkoordinat satu program besar bagi menyampaikan bantuan.

“Hal ini demikian kerana setiap hujung tahun, saya mendengar rintihan daripada ibu bapa yang hendak menghantar anak-anak ke sekolah daripada semua kaum.

“Sebaliknya, kita dapat tahu, ada ramai penderma-penderma nak bagi bantuan sehinggakan saya mendapati ada dalam kalangan keluarga yang mendapat bantuan daripada dua tiga sumber dalam satu-satu masa disebabkan kita tidak koordinat dan tidak tahu sasaran kita siapa.

“Jadi, saya telah menyatakan, bagi berlaku adil, baik kita koordinat bersama-sama kita pastikan bahawa semua anak-anak kita yang berada dalam kategori miskin mendapat bantuan sewajarnya,” tambahnya.

Terdahulu, Karnival ‘Back To School 2015’ telah mendapat kerjasama daripada beberapa agensi antaranya Badan Amal dan Usaha Isteri (Baiduri) Negeri Perak, Yayasan Perak, KPerak, Lembaga Air Perak (LAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");