Sukan Hari Ini

Adi buru pingat emas keempat di AUG Palembang

BANGI: Atlet lontar peluru kebangsaan Adi Alifuddin Hussin optimis mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) ke-17 di Palembang, Indonesia yang membuka tirai, minggu depan.

Adi, 26, berkata pengalaman beraksi dalam tiga edisi sukan AUG sebelum ini menjadi kelebihannya untuk mengekalkan pingat emas buat kali keempat berturut-turut selepas cemerlang pada 2008 di Kuala Lumpur, 2010 (Chiangmai, Thailand) dan 2012 (Vientiane, Laos).

Siswa tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pembangunan Sumber Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menyifatkan Sukan AUG adalah landasan terbaik buatnya dalam persiapan menghadapi Sukan SEA 2015 di Singapura.

“Cabaran bagi saya ialah atlet dari Thailand kerana mereka mempunyai ramai pilihan dan prestasi mereka bagus tanpa mengira peringkat umur, jadi saya ambil peluang ini untuk lebih cemerlang di Sukan SEA di Singapura nanti.

Saya kini berlatih bersama jurulatih baharu iaitu Mohd Malik Tobias (bekas atlet dekatlon negara), selama sebulan bersamanya saya lihat prestasi dan teknik balingan saya semakin baik cuma masih perlu memperbaiki beberapa kelemahan lagi,” kata Adi kepada pemberita ketika ditemui di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Semua atlet yang mengambil bahagian dalam sukan AUG menyertai kem latihan pusat akhir di UKM bermula hari ini sehingga Sabtu.

Adi memegang rekod kebangsaan dengan catatan terbaik 17.53 meter ketika beraksi di Sukan SEA Palembang 2011.

Olahraga antara acara sukan yang menjadi tumpuan buruan pingat emas kontinjen negara yang akan memulakan saingan pada 15 Disember ini di Stadium Olahraga Jaka Baring, Indonesia. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");