Sukan Hari Ini

Badminton: Misi kekal kejuaraan

SKUAD badminton negara yang memulakan cabaran kejohanan Piala Axiata 2014 Khamis lepas berdepan tugas berat untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.

Ia susulan ketiadaan pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang digantung sementara oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati positif dadah pada Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen Ogos lalu.

Bukan memandang rendah keupayaan pemain negara yang lain, namun berdasarkan tiga kejohanan baru-baru ini tanpa disertai Chong Wei, nyata memberi kesan kepada kem negara apabila tiada seorang pun yang mara sekurang-kurangnya suku akhir.

Rata-rata pemain khususnya perseorangan kedua, Chong Wei Feng juga gagal membuktikan kemampuan apabila hanya mampu melepasi pusingan kedua pada kejohanan tersebut.

Walaupun kejohanan tersebut membabitkan acara berpasukan, namun prestasi semasa yang dipamerkan pemain negara ketika ini jelas membimbangkan. Malah situasi itu juga memberi gambaran bahawa kem negara pada kejohanan kali ini kurang ampuh berbanding sebelum ini.

KEKAL FORMAT

Piala Axiata merupakan kejohanan yang dianjurkan Axiata Group, salah sebuah syarikat telekomunikasi terbesar di Asia, dengan kerjasama Konfederasi Badminton Asia (BAC) dan Total Sports Asia.

Seperti biasa, pertandingan itu masih mengekalkan format permainan sama dengan setiap pasukan akan beraksi dalam empat perlawanan iaitu perseorangan lelaki dan wanita serta beregu lelaki dan beregu campuran dengan perlawanan peringkat kumpulan akan berlangsung di Britama Arena Sports Mall, Kelapa Gading, Jakarta bermula 27 November ini.

Manakala peringkat separuh akhir dan akhir pertandingan itu akan berlangsung di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras pada 6-7 Disember ini. Saingan kali ini akan disertai pasukan All-Star Eropah bersama All–Star Asia bersama pemain-pemain dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura dan Filipina.

GALAS TUGAS

Ketiadaan Chong Wei buat pertama kali pada kejohanan tersebut memberi peluang kepada Wei Feng untuk mengalas tugas sebagai pemain perseorangan utama.

Mungkin Wei Feng mampu untuk memikul tugas berkenaan memandangkan dia pernah diberi tanggungjawab itu ketika sukan Komanwel di Glasgow, Scotland Julai lalu apabila Chong Wei terpaksa berehat ekoran kecederaan kekejangan otot yang semakin serius.

Namun menjadi persoalannya, mampukah Wei Feng membantu Malaysia untuk meraih kemenangan atau perkara sama akan berlaku ketika di sukan Komanwel.

Wei Feng ketika dihubungi berkata, sebagai pemain kebangsaan, dia perlu bersedia memikul tanggungjawab itu namun pada masa sama dia berharap agar peminat mahupun rakan sepasukan yang lain juga perlu yakin dengan potensi yang dimilikinya sama ada dalam acara perseorangan atau berpasukan campuran pada temasya itu nanti.

“Kita tidak ada pilihan, jika saya tidak diturunkan siapa lagi pemain yang ada, dalam situasi ini kita perlu positif. Memang tidak dinafikan ketiadaan Chong Wei menyukarkan peluang pasukan untuk mempertahan kejuaraan kali ini. Tetapi saya yakin sekiranya capai sasaran ke separuh akhir pemain akan lebih bersemangat untuk mara ke final.

“Kami juga mempunyai pengalaman dalam kejohanan berpasukan seperti ini,” katanya.

PERLU TENANG

Turun selaku juara bertahan, ia semestinya memberi tekanan kepada Malaysia yang mahu mempertahankan kejuaraan tersebut. Oleh itu, Wei Feng yang tidak berani meletakkan sasaran tinggi di Piala Axiata 2014 itu meminta para peminat agar jangan menaruh harapan yang terlalu tinggi kepada mereka.

Katanya, mereka mahukan beraksi tanpa tekanan sepanjang berada di bumi Jakarta itu.

“Kadang-kadang benda yang diimpikan sangat itu boleh menjejaskan fokus kita, jadi saya harap pemain lebih tenang dan mengharungi setiap perlawanan dengan tenang.

“Saya juga berharap para peminat memahami situasi ini. Kami faham apa yang mereka (peminat) mahukan, tetapi jangan terlalu menaruh harapan yang tinggi kerana ia boleh menjejaskan fokus pemain negara,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");