Isu Panas

Bayaran Pampasan Kepada Pegawai MBI Tak Ikut Prosedur – Laporan Audit

SHAH ALAM: Satu laporan audit mendedahkan bahawa pembayaran pampasan kepada lapan pegawai bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tidak dibuat mengikut tatacara dan prosedur betul.

Laporan itu menyebut kelulusan dasar pembayaran berjumlah kira-kira RM2.6 juta kepada pegawai kontrak berkenaan yang dilantik Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), tidak dikemukakan kembali kepada Lembaga Pengarah MBI untuk pertimbangan dan kelulusan.

“Ahli-ahli Lembaga Pengarah MBI tidak termasuk pengerusi MBI pada bila-bila masa selepas 25 Ogos 2014, tidak pernah memberi persetujuan secara muktamad bagi pelaksanaan pembayaran yang telah dibuat kepada lapan kakitangan ataupun pegawai terlibat sepertimana diputuskan Pengerusi MBI bertarikh 22 Sept 2014,” kata laporan audit itu.

Laporan itu diumumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh, dalam satu sidang akhbar di sini Rabu.

Laporan itu disediakan secara bersama oleh Perbendaharaan Selangor dan Bahagian Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Pembayaran itu dibuat pada akhir tempoh perkhidmatan Abdul Khalid sebagai menteri besar sebelum Mohamed Azmin Ali mengambil alih pada 23 September lepas.

Abdul Khalid sebelum ini berkata pembayaran pampasan itu mengikut skim pemberhentian sukarela (VSS), mematuhi peraturan dan prosedur MBI Selangor.

Yeoh berkata, jika perlu laporan itu akan disiasat Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");