Jenayah

Beg misteri dimusnahkan polis

IPOH – Sebuah beg bimbit misteri yang ditemui di bawah meja sudut layan diri (Self Service Terminal Area) di sebuah bank di Gunung Rapat, dekat sini diletupkan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak selepas menerima laporan berhubung penemuan itu pagi semalam.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, polis mengarahkan orang awam yang berada di kawasan berhampiran untuk menutup telefon bimbit masing-masing bagi tujuan keselamatan kira-kira 2.05 petang.

UPB kemudiannya bertindak meletupkan beg bimbit berkenaan sebanyak dua kali iaitu pada jam 2.15 petang diikuti letupan kedua dua puluh minit kemudian.

Ketua Balai Polis Kampung Rapat, Inspektor Raja Mohd Zani Raja Omar merangkap Pegawai Medan di tempat kejadian mengisytiharkan kawasan tersebut selamat untuk orang awam tepat jam 2.47 petang.

Penolong Pengurus bank tersebut, Zuliana Ishak ketika ditemui memberitahu beg bimbit berwarna coklat itu telah ditinggalkan di kawasan tersebut sejak Isnin lalu.

Menurutnya, mereka tidak menyentuh beg bimbit itu kerana berpendapat mungkin ada pelanggan yang tertinggal dan akan mengambilnya semula, bagaimanapun sangkaan mereka meleset.

“Demi menjaga keselamatan pekerja dan pelanggan bank, kami membuat keputusan untuk melaporkan mengenai penemuan beg itu kepada polis untuk tindakan seterusnya.

“Pihak polis tiba lebih kurang jam 10.30 pagi dan dua jam kemudian bangunan ini serta premis berhampiran telah dikosongkan bagi memberi ruang kepada polis untuk menjalankan pemeriksaan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, mereka tidak memperoleh sebarang rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) memandangkan alat tersebut hanya ditempatkan di kawasan kritikal sahaja.

Tambahnya, pihaknya juga tidak menerima sebarang ugutan daripada mana-mana pihak sebelum ini dan sepanjang empat tahun bank tersebut beroperasi kejadian itu adalah yang pertama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan telah menghantar UPB IPK Perak untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati setakat ini pihaknya masih tidak dapat mengesan siapa yang meninggalkan beg bimbit berkenaan memandangkan CCTV premis tidak merakam kejadian tersebut.

“Untuk tujuan keselamatan kami menghantar UPB untuk menguji dan membuka beg tersebut. Bagaimanapun selepas diletupkan beg itu didapati kosong,” jelasnya dalam kenyataan ringkas semalam.

Chang Keong berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti pemilik beg bimbit itu.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");