Jenayah

Berat hati lepas cuti

Segamat: “Arwah abang ipar dilihat amat berat untuk kembali memandu lori selepas menghabiskan cuti selama dua hari, rupa-rupanya ia petanda meninggalkan kami semua selamanya,” kata Zalifah Ismail, 40, adik ipar kepada Nordin Mohamad Zin, 49, yang maut apabila treler muatan kayu dipandunya terbabit dengan kemalangan dengan lori pasir, pagi semalam.

Menurutnya, arwah menyewa di Kampung Tengah, di sini, bersama keluarganya, tetapi berasal dari FELDA Medoi meninggalkan balu berusia 40 tahun serta dua anak lelaki dan dua perempuan berusia antara lima dan 12 tahun.

Katanya, Nordin memang gemar bergurau dengan ahli keluarganya dan juga saudaranya yang lain serta suami yang amat bertanggungjawab.

“Dua hari sebelum kejadian, saya ada bertemu dengannya dan arwah ada beritahu amat berat hati untuk dia kembali bekerja selepas cutinya habis.

“Arwah juga tiba-tiba menjadi pendiam, seolah-olah memikirkan sesuatu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, Nordin adalah penyeri keluarga mereka sekiranya ada sebarang majlis seperti perjumpaan keluarga, kenduri perkahwinan atau perayaan.

Dalam kejadian pada jam 4.30 pagi berhampiran kilang kitar semula di Buloh Kasap, di sini, treler dipandu mangsa menuju ke arah Gemas, Negeri Sembilan bertembung dengan lori yang menghala ke arah Segamat.

Pemandu lori pasir yang dikenali sebagai Vasu, 30-an turut maut manakala kelindannya, Sitha, 30-an cedera di kaki kanannya.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, siasatan awal mendapati lori membawa muatan pasir itu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler terbabit.

Menurutnya, kedua-dua pemandu tersepit di tempat duduk masing-masing selepas kenderaan mereka remuk teruk dan meninggal dunia di tempat kejadian.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");