Berita Hari Ini

Bina rumah mampu milik

Pemaju induk Nusajaya, satu daripada lima zon utama di Iskandar Malaysia, UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) meneruskan komitmennya membina rumah mampu milik menerusi projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dikenali sebagai Denai Nusantara.

Majlis pecah tanah projek itu yang berlangsung pada 9 November lalu dirasmikan Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin yang diiringi Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latif Bandi dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri Johor berbesar hati di atas usaha UEM Sunrise memastikan bekalan rumah berkualiti yang mampu dimiliki oleh rakyat terus dibina.

“Usaha seperti ini membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia khususnya rakyat Johor untuk menjadi sebahagian daripada Nusajaya, sebuah kawasan yang penuh dengan pelbagai peluang di samping membolehkan mereka berkongsi kemajuan Iskandar Malaysia,” katanya ketika ditemui.

Menurut Anwar Syahrin pula, sebagai antara pemaju hartanah terbesar di Malaysia, pihaknya menyokong penuh usaha kerajaan dalam memastikan pemilikan rumah untuk setiap lapisan masyarakat.

“Menjadi harapan kami untuk terus membina rumah mampu milik yang berkualiti dengan kemudahan moden demi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat, keselesaan dan manfaat mereka. Kami yakin mampu melakukannya bersandarkan kepada pengalaman luas dalam membangunkan perbandaran, membina kediaman dan pembangunan bersepadu.

“Ketika UEM Sunrise memberi tumpuan kepada pembangunan Denai Nusantara, manakala Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pula berperanan menentukan pembeli yang layak dan memenuhi syarat untuk memiliki kediaman ini.

Rakyat akan menerima manfaat bagi pembangunan Denai Nusantara di Nusajaya,” katanya.

Denai Nusantara yang dijangka siap pada 2017 akan menawarkan 1,109 unit rumah di lima blok bangunan 12 tingkat berkeluasan 1,000 kaki persegi dengan harga RM150,000 setiap unit.

Ia turut membabitkan pembinaan 108 unit lot kedai satu tingkat berkeluasan 1,200 kaki persegi yang berharga RM200,000 setiap unit.

Terletak di lokasi strategik berdekatan dengan hab pengangkutan yang terancang dan kawasan industri di Gerbang Nusajaya, Denai Nusantara dilengkapi dengan Crime Prevention Through Enviromental Design (CPTED) seperti pagar dan rumah pengawal.

Selain itu, kawasan ini juga mempunyai kemudahan awam seperti dewan serba guna, surau, tadika, pejabat pengurusan dan taman rekreasi.

Sementara itu, pada awal Mac lalu, UEM Sunrise mengadakan majlis prapelancaran bagi 351 unit hartanah mampu milik di Nusa Bayu. Kerja pembangunan dimulakan pada Ogos dan kini berjalan mengikut jadual.

UEM Sunrise tekad untuk menawarkan lebih banyak perumahan mampu milik di Nusajaya. Dilancarkan secara berperingkat, pembangunan ini akan dibina berdasarkan garis panduan Dasar Perumahan Rakyat Johor di Iskandar Malaysia.

Setiap rumah akan dibina bergantung pada permintaan semasa dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan.

Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi Majlis Perumahan Negara (NHC) dan juga kerajaan negeri Johor dalam memastikan pemilikan rumah untuk rakyat.

UEM Sunrise akan mempamerkan projek RMMJ di Ekspo Hartanah di ISKARNIVAL pada 6 hingga 7 Disember ini dari jam 10.30 pagi hingga 7 malam bertempat di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, Nusajaya, Johor.

ISKARNIVAL adalah acara anjuran bersama tiga organisasi membabitkan Khazanah Nasional Berhad, UEM Sunrise dan Iskandar Investment Berhad dengan tujuan mengetengahkan pelbagai peluang di Nusajaya serta mengeratkan hubungan antara masyarakat melalui pelbagai landasan termasuk perdagangan, peluang pekerjaan, projek perumahan mampu milik dan aktiviti rekreasi.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");