Isu Panas

DAP gesa PM panggil sidang khas Parlimen

KUALA LUMPUR – DAP menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan satu sidang khas Parlimen bagi membincangkan langkah-langkah khas untuk membantu mangsa banjir dan meluluskan Bajet Tambahan jika perlu.

Setiausaha Organisasinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya mencadangkan agar sidang khas itu dibuat pada awal Januari depan.

“Satu skim bantuan khas dan mekanisme untuk membantu mangsa untuk membina semula rumah kediaman mereka perlu dikaji dan dibincangkan Ahli Parlimen.

“Sidang khas itu juga dapat memberikan ruang kepada Ahli-ahli Parlimen terutamanya mereka yang mewakili kawasan bencana untuk menyuarakan pandangan dan permasalahan di kawasan mereka,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri pada minggu lalu yang mengumumkan tiga langkah tambahan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Antaranya dengan menyalurkan peruntukan sebanyak RM500 juta menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan mempercepatkan pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) pada pertengahan Januari depan.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata lagi, sidang khas Parlimen juga akan memberi peluang sama ada pihak kerajaan atau pembangkang untuk menunjukkan Ahli Parlimen boleh mengetepikan perbezaan ideologi politik dalam isu kemanusiaan.

Dalam pada itu, Anthony Loke juga mempersoalkan mekanisme pengagihan peruntukan tambahan RM500 juta kerajaan kepada mangsa banjir yang didakwa masih belum dimuktamadkan.

“Sekiranya RM500 juta ini diagihkan kepada lebih 220,000 mangsa banjir yang terpaksa dipindahkan, secara purata seorang mangsa hanya mendapat bantuan sebanyak RM2,000.

“Sudah tentunya bantuan itu tidak mencukupi untuk membantu mangsa yang menghadapi kemusnahan rumah kediaman mereka.

“Malah RM500 juta itu pun mungkin tidak mencukupi untuk menampung kos pembinaan semula di Kelantan sahaja,” katanya lagi.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");