Jenayah

Disamun Di Tempat Letak Kereta

TAIPING : Seorang wanita berdepan detik cemas apabila dia didatangi seorang lelaki bersenjatakan pistol dan gunting di kawasan tempat letak kereta di sebuah pasar raya, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa yang berusia 23 tahun, baru sahaja sampai di kawasan tempat letak kereta untuk menghantar makanan kepada adiknya yang bekerja di situ.

Mangsa yang enggan dikenali berkata, sebaik keluar dari kereta dia didatangi seorang lelaki yang kemudiannya meminta RM2.

“Saya minta lelaki itu tunggu sebentar kerana ingin ambil barang. Namun secara tiba-tiba saya diacukan sepucuk pistol berwarna perak dan suspek meminta saya serahkan semua duit,” katanya.

Katanya, pada mulanya saya memaklumkan kepada suspek hanya memiliki RM50 sahaja.

“Mungkin kerana tidak berpuas hati dengan wang yang saya ada, suspek kemudiannya mengeluarkan gunting dan meminta saya masuk dalam kereta dan duduk di bahagian tempat duduk penumpang,” katanya.

Semasa kejadian, seorang wanita yang berjalan kaki di kawasan itu cuba membantu, namun dia diugut suspek supaya tidak menjerit atau memaklumkan kepada sesiapa.

“Disebabkan bimbang dicederakan wanita terbabit segera melarikan diri ,” katanya.

Mengulas lanjut, mangsa berkata, ketika itu, suspek turut bertanya sama ada memiliki kad pengeluaran wang automatik (ATM) atau tidak.

“Disebabkan bimbang keselamatan, saya terus memaklumkan mempunyai wang RM500.

“Dalam masa sama, suspek turut mengikat tangan saya dan merendahkan kerusi supaya tidak disedari orang dan memandu kereta keluar dari kawasan tempat letak kereta,” katanya.

Katanya, semasa dalam kereta suspek turut bertanya beberapa soalan lain.

“Ketika berada di kawasan Assam Kumbang, saya cuba membunyikan hon menggunakan kaki dan mengganggu pemanduan suspek.

“Sebaik tiba di kawasan lampu isyarat, saya cuba tendang pintu kereta dan berjaya melompat keluar dari kereta,” katanya.

Mangsa berkata, suspek kemudiannya menggunakan kereta sama bertindak membuat pusingan U dan melarikan diri ke arah Kamunting.

“Selepas itu, saya terus menghubungi keluarga dan membuat laporan di balai polis berhampiran.

“Akibat kejadian terbabit, saya mengalami kecederaan ringan di lutut dan kesan ikatan di pergelangan tangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap kes tersebut dengan melihat kamera litar tertutup (CCTV) di pasar raya berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");