Jenayah

Dua Tragedi Awal Pagi

LEDANG : Dua maut membabitkan seorang penumpang bas warga Indonesia dan kelindan lori dalam dua nahas berasingan di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) berhampiran Plaza Tol Bukit Gambir, di sini, semalam.

Kemalangan pertama berlaku pada jam 3.06 pagi, di Kilometer 155.6 membabitkan sebuah bas persiaran dengan sebuah treler turut mengakibatkan dua penumpang bas berkenaan cedera parah.

Mangsa dikenali, Sa’odah, 22, yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tangkak.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohd Salleh Abd Razak berkata, bas terbabit membawa 45 penumpang yang semuanya warga Indonesia dalam perjalanan dari Larkin ke Perhentian Bas Sepadu (TBS) Kuala Lumpur.

Menurutnya, bas tersebut yang menghala ke arah utara dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan lebuh raya sebelum terbalik dalam keadaan melintang di lebuh raya berkenaan.

“Kemudian, datang sebuah treler yang sarat membawa barangan plastik dari belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh bas tersebut selang beberapa minit selepas kenderaan itu terbalik.

“Pemandu bas, A Ragu, 39, terseliuh bahu kanan manakala pemandu treler, Goy Kun Chai, 56, patah tangan kanan akibat tersepit di bahagian tempat duduk pemandu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kedua-dua mereka dan mangsa lain yang cedera parah itu kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Mohd Salleh berkata, kemalangan kedua pula membabitkan sebuah lori ayam dengan sebuah lori lain yang masing-masing seberat tiga tan berlaku kira-kira jam 5.15 pagi di Kilometer 155.1, berpunca daripada kesesakan di lebuh raya berkenaan ekoran insiden nahas pertama.

“Pemandu lori ayam terbabit dipercayai merempuh bahagian kanan belakang lori tersebut dihadapannya yang tidak membawa sebarang muatan mengakibatkan kelindannya, Yong Woon Man, 45, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

“Lori yang dipandu Binson Maisa, 45, dalam perjalanan dari Yong Peng untuk menghantar ayam ke Seremban,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan minta saksi kejadian tampil membantu siasatan.

-sinarharian-

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");