Berita Hari Ini

Empat pelan perkasa RELA

Kuala Lumpur: Empat pelan strategi baru menjadi sasaran Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam usaha memperkasa dan memartabatkan jabatan itu sebagai sebuah agensi yang berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ kerajaan dalam aspek keselamatan, sosioekonomi dan pembangunan negara.

Ketua Pengarahnya Lukeman Saaid berkata, latihan bagi melahirkan modal insan terlatih dan berpengetahuan adalah antara perkara penting yang digariskan dalam pelan strategi pada tahun depan.

“Saya berterima kasih kerana menerusi Bajet 2015, jabatan ini menerima peruntukan sebanyak RM117 juta yang sebahagian besarnya adalah untuk menampung kos latihan.

“Justeru, untuk itu, kita akan melatih seramai 50,000 anggota di peringkat kursus pengenalan pada tahun depan untuk memantapkan pembangunan modal insan.

“Berdasarkan rekod, sehingga kini, kita sudah melatih seramai 355,160 anggota dan jumlah ini masih lagi jauh jika hendak dibandingkan dengan jumlah anggota RELA masa kini yang mencecah 2.97 juta anggota,”katanya.

Justeru itu, beliau berkata, bagi meningkatkan jumlah anggota RELA terlatih, beberapa tindakan akan dilaksanakan tahun depan.

“Seramai 15,000 anggota akan dilatih di peringkat kursus asas yang membabitkan pelaksanaan di pusat latihan dan peringkat negeri pada tahun depan.

“Pada masa sama, kita juga melaksanakan ‘road map’ kerjaya kepada pegawai RELA mulai tahun depan dan melahirkan anggota yang berkemahiran melalui kerjasama Akademi Latihan RELA Malaysia (ALARM) dengan institusi pengajian tinggi awam selain turut meningkatkan kepakaran Platun Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) melalui kewujudan modul yang seragam dan latihan yang berterusan di peringkat daerah.

“Langkah ini adalah kerana saya ingin melihat akademi ini mampu melahirkan anggota RELA yang bergelar graduan dengan mempunyai sijil kemahiran yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian mereka,”katanya.

Menurutnya, bagi pelan kedua, integriti pegawai dan anggota akan dipertingkat dan diperluaskan di peringkat negeri, pusat latihan dan daerah.

“Modal insan yang mempunyai sifat murni dan unggul adalah tunjang dalam melaksanakan segala aspirasi kerajaan, jika ia kukuh maka unggul dan majulah sesebuah jabatan itu tetapi jika lemah, goyanglah organisasi itu.

“Dalam hal ini, RELA bergantung penuh kepada pegawai dan anggotanya bagi merealisasikan hasrat itu,”katanya.

Lukeman berkata, kes seperti salah guna kuasa dan senjata api serta masalah disiplin dalam kalangan pegawai dan anggota perlu dibendung supaya pucuk pimpinan dan masyarakat mempunyai kepercayaan tinggi terhadap RELA.

“Sehubungan itu, unit integriti sedia ada akan diperluaskan dan bagi memantapkan peranan unit ini, pegawai integriti di pelbagai peringkat perlu dilantik,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan pusat khidmat komuniti RELA juga akan dioptimumkan sebagai pusat sehenti kepada program dan aktiviti RELA yang turut menyediakan khidmat komuniti kepada masyarakat setempat.

“Pusat khidmat komuniti RELA (PKKR), diwujudkan sebagai pusat kegiatan aktiviti RELA setempat, malah sehingga kini, terdapat sebanyak 755 PKKR dibina di seluruh negara oleh kerajaan dan disumbangkan oleh syarikat dan individu.

“Maka selaras dengan slogan RELA ‘Dari rakyat, bersama rakyat, untuk rakyat’, peranan dan fungsi PKKR di seluruh negara hendaklah dioptimumkan sebagai pusat yang turut menyediakan khidmat komuniti untuk masyarakat,”katanya.

Menurutnya lagi, bagi strategi keempat pula iaitu menerusi program ‘Bakti RELA’, kebajikan pegawai dan anggota akan dipelihara dan dipertingkatkan.

“Program ini menjurus kepada aktiviti kemasyarakatan, kebajikan dan kemanusiaan yang mempunyai nilai keprihatinan dan daya tarikan titik sentuhan berimpak tinggi kepada anggota dan masyarakat.

“Jabatan ini harus bertanggungjawab membawa imej kerajaan ke pangkuan rakyat dengan mempelbagai dan melaksanakan lebih banyak usaha murni menerusi program bakti ini sebagai kayu pengukur keberadaan kita di merata pelusuk dan rantau.

“Justeru, program ‘Bakti RELA’ akan diperbanyakkan dan saya mahu ia dijadikan salah satu agenda pengisian dalam setiap program RELA di semua peringkat pada masa sama saya turut menyeru kita semua sentiasa berusaha ke arah mempertingkatkan kebajikan pegawai dan anggota kita dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berharap, RELA akan terus diberikan sokongan dan perhatian dalam semua aspek supaya ia terus diperkasakan bagi membawa wadah Kementerian Dalam Negeri dalam aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“RELA adalah jabatan persekutuan paling muda sudah mengharungi dan menempuh pelbagai arus perubahan serta cabaran dalam meletakkan ia terus kekal relevan hingga kini.

“Segala kejayaan yang dikecapi adalah hasil komitmen padu daripada pegawai dan anggota malah saya terus menyeru kepada semua untuk terus memberikan komitmen tidak berbelah bahagi ke arah mengorak langkah ke mercu kejayaan yang lebih terbilang,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");