Membawang Hari Ini

Finas atur strategi

BICARANAYA bernas, berpengetahuan, pandai berjenaka dan ramah! Itulah antara keperibadian Ketua Pengarah (KP) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Kamil Othman.

Baharu sahaja dilantik kurang dari sebulan, namun mendengar butir-butir perancangannya, pasti akan ada pembaharuan dalam industri di bawah pimpinan beliau.

Datang ke Finas dengan segunung ilmu di Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC) sebagai Naib Presiden, kerusi panas itu sememangnya layak untuknya dalam berkongsi ilmu yang ada.

Mendengar penjelasan dan pendapatnya mengenai industri menerusi Majlis Ramah Mesra Media, yang diadakan pada Selasa lalu di Hotel Pullman, Bangsar, terbukti bahawa individu ini bukanlah calang-calang orang.

Dilantik sebagai juri untuk beberapa festival filem termasuk Festival Filem Malaysia (FFM) dan Tropfest Sea, beliau juga pernah bergelar pengkritik filem. Berdasarkan pengalaman sebelum ini, beliau lebih tahu akan selok-belok dunia perfileman.

Kita ikuti temu bual yang disusun bersama beliau dalam berkongsi perancangan dan pelaksanaan untuk membawa industri ke arah yang lebih baik…

Kurang sebulan berada di Finas, apa pandangan Datuk mengenai industri seni tempatan?
Dari segi pengeluaran filem, ianya menunjukkan kadar positif saban tahun. Namun, dari segi kualiti, saya mengakui ada di antaranya yang hanya bersifat ‘syok sendiri’ tanpa panduan. Sebelum ini, saya banyak memerhatikan perkembangan industri dan ternyata sekiranya ia tidak diatasi, industri kita hanya akan berada di takuk itu sahaja malah berdepan dengan jumlah tontonan yang semakin merosot.
Pasaran industri menerusi kutipan di pawagam menunjukkan kemerosotan tahun demi tahun. Apakah langkah yang bakal diambil dalam usaha menanganinya?
Saya memandang perkara itu sebagai cabaran dalam membawa pembaharuan terhadap industri. Hasil perbincangan bersama, mulai bulan depan, Januari 2015, Finas akan mewujudkan ‘pitching centre’ di mana setiap penggiat seni yang ingin mendapatkan dana kerajaan untuk menghasilkan filem, dokumentari atau apa-apa karya bakal ditapis dan dinilai dari permulaan lagi termasuk pemilihan skrip oleh panel yang dilantik. Bukan untuk menyusahkan pengkarya untuk mendapatkan geran, namun lebih kepada memastikan karya yang dihasilkan bermutu dan tidak merugikan. Kemungkinan besar, kami akan lebih berhati-hati dalam memberikan dana sewenangnya dan menyarankan agar penggiat seni tidak hanya mengharapkan dana semata-mata dalam menghasilkan karya.
Bagaimana pula untuk penerbit yang menggunakan dana sendiri dalam menghasilkan filem mereka? Adakah mutu dan kualiti akan turut diteliti?
Saya tidak nafikan, punca tontonan mula merosot di pawagam adalah kerana sering disogok dengan karya yang sama, tidak berkualiti dan dihasilkan tanpa pengetahuan yang cukup. Saya tidak akan menghalang kerja seni mereka kerana mereka menggunakan duit sendiri untuk menghasilkan karya. Namun, saya sarankan agar mereka meneliti terlebih dahulu karya yang bakal dihasilkan untuk mengelakkan kerugian besar. Malah mereka juga perlu memikirkan kaedah lain yang boleh menjana pendapatan dan tidak hanya mengharapkan pawagam, cakera padat dan tayangan di Astro First sahaja. Sebenarnya, dalam industri pembikinan filem, banyak cabang lain yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan. Mereka hanya perlu bijak menyusun langkah dalam memasarkannya.
Selain itu, apakah perancangan Finas yang lain dalam membantu industri seni?
Kami banyak berbincang mengenai industri dan antaranya kempen, Jom Buat Filem, akan diperkenalkan kepada pengkarya tidak lama lagi. Menerusi perancangan itu, kami akan memberi keutamaan kepada penulis skrip dan penerbit dalam menghasilkan karya. Selain itu, saya juga akan mencadangkan untuk membuat program, wayang pacak, yang boleh menjana pendapatan lain kepada produksi itu. Konsep wayang pacak ini, kita boleh ‘pacak’ skrin di mana-mana sahaja termasuk di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan mengenakan bayaran di atas setiap tontonan.

Saya juga akan membuat perbincangan dengan stesen televisyen swasta, Astro, dalam pelaksanaan dan kewajaran Astro First kerana apa yang saya perhatikan, ia adalah salah satu faktor mengapa jumlah tontonan semakin merosot. Selepas dua minggu tayangan di pawagam, filem baharu itu akan terus disalurkan ke Astro First. Ia adalah tindakan yang kurang bersesuaian kerana sudah tentu penonton akan memilih tayangan di Astro First, bukan sahaja murah malah boleh ditonton berulang kali seisi keluarga. Sebagai contoh, filem-filem antarabangsa, penonton hanya akan menontonnya secara eksklusif di televisyen selepas enam bulan ditayangkan di pawagam dan dengan ini, mereka berjaya mengekalkan populariti filem itu. Selain itu, kami akan mencadangkan agar pawagam turut terlibat dalam pembikinan filem tempatan seperti yang dilakukan ke atas filem antarabangsa yang lain. Finas juga akan bekerjasama dengan Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG), dalam memperjuangkan transformasi pengamal industri kreatif agar ianya terus berperanan mewakili industri kreatif secara rasmi yang diiktiraf di peringkat tempatan dan mempunyai jaringan yang kukuh di peringkat antarabangsa.

Pada pandangan Datuk, adakah industri seni tempatan berdepan dengan masalah?
Saya tak kata industri kita bermasalah, cuma kita berdepan dengan cabaran yang hebat untuk membawa industri ke tahap yang lebih maju. Tidak mustahil karya-karya kita boleh dibawa ke peringkat antarabangsa sekiranya mutu dan kualiti yang diberikan berada di tahap yang terbaik. Sebagai contoh, saya amat berbangga dengan filem arahan, Liew Seng Tat, iaitu Lelaki Harapan Dunia kerana berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan ditayangkan di banyak filem festival luar. Ini adalah kejayaan besar buat karya tempatan apatah lagi turut mendapat kerjasama terbitan daripada beberapa produksi luar negara. Inilah yang kita perlu lakukan sebagai pengkarya. Sekiranya filem kita tidak mendapat sambutan di negara sendiri, apa kata kita cuba pasarkan di luar dan cari jalan untuk jalinkan kerjasama dengan produksi luar. Walaupun filem itu berdepan dengan kontroversi apabila ada yang menganggap ianya menyentuh sensitiviti kaum Melayu, namun bagi saya, itulah sebenarnya Melayu dan sebelum ini, menerusi filem Tan Sri P Ramlee, beliau sudah selitkan sindiran-sindiran seumpama ini.
Sebagai pemerhati industri, adakah Datuk melihat pengamal industri berdepan dengan cabaran besar dari segi tekanan kerja, persaingan dan pendapatan?
Saya ingin kongsi kisah diri saya. Satu ketika dahulu, saya pernah bercita-cita untuk menjadi pembikin filem. Namun, hasrat itu ditentang oleh bapa saya dan dia tidak bersetuju sekiranya saya mahu menceburkan diri dalam industri. Baginya, bukan senang untuk menjadi pembikin filem dan dia lebih menggalakkan saya untuk menjadi orang yang berjaya seperti doktor, peguam dan profesion kerjaya yang lebih terjamin. Namun, minat saya dalam industri sukar untuk dikikis dan dalam masa yang sama, saya juga terlibat secara tidak langsung dalam industri. Pada zaman sekarang sekalipun, kebanyakan golongan ibu bapa sukar memberi keizinan kepada anak-anak untuk menghiasi ruang industri seni dan menganggap ia sebagai kerjaya yang dipandang rendah. Saya suka sekali ingin melihat penerbit, pelakon dan kru produksi tempatan berjaya dan mampu digelar jutawan seperti selebriti antarabangsa. Pengamal industri mampu mengekalkan populariti mereka sekiranya bijak menyusun langkah. Malah, saya ingin galakkan agar setiap artis mempunyai agen sekiranya ada pihak yang mahu dapatkan khidmat mereka dan peguam untuk setiap persetujuan yang dibuat dalam urusan kerja. Persaingan dan cabaran ada di mana-mana sahaja. Bagi produksi pula, carilah peluang di luar kerana kita tidak tahu, ada kemungkinan, rezeki kita di luar.
Akhir sekali, apa pandangan Datuk apabila sebelum ini, penggiat seni sering mengeluh bahawa mereka kurang mendapat perhatian dan kerjasama daripada Finas. Adakah selepas ini, perkara itu akan diambil kira dalam membina hubungan yang baik bersama industri?
Saya tidak tahu mengenai pengurusan yang terdahulu, namun di bawah pimpinan saya, saya akan memastikan hubungan yang baik antara industri, Finas dan media. Kami tidak akan berjaya melakukannya seorang diri tanpa bantuan daripada industri kerana kita amat memerlukan antara satu sama lain. Di Finas, kami akan memainkan peranan utama sebagai fasilitator untuk warga seni. Kami juga amat mengharapkan kerjasama daripada persatuan industri kreatif untuk membincangkan secara lebih lanjut berkenaan industri.
Selepas ini, Finas akan mengadakan sesi dialog dengan wakil persatuan sekerap yang mungkin dan optimis dalam membincangkan penubuhan Majlis Perundingan Industri Kreatif dari segi dasar, sistem, prosedur dan perkhidmatan. Saya berharap agar soal gagal mendapatkan kerjasama tidak akan timbul lagi selepas ini. Malah, saya juga akan memberikan kerjasama yang baik kepada media dalam mendapatkan penjelasan mahupun kenyataan berhubung isu-isu yang dibangkitkan. Sekiranya saya gagal memberikan respons, itu bermakna saya sedang sibuk, meeting, dalam bilik air ataupun sedang bermain dengan cucu (ketawa). Pun begitu, saya akan hubungi semula selepas itu.
-sinar harian
Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");