Berita Hari Ini

Gesa kerajaan pinda Akta OKU 2008

KUALA LUMPUR – Persatuan Orang-orang Cacat Anggota Malaysia (Pocam) menggesa kerajaan meminda Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 dengan memperuntukkan hukuman terhadap pihak yang mendiskriminasi golongan itu.

Presidennya, Shahidon Hanafiah berkata, pihak yang mendiskriminasi OKU harus dihukum kerana golongan itu kini begitu sukar mendapat peluang pekerjaan dan pendidikan.
Beliau mendakwa ramai majikan terutamanya di sektor swasta tidak mahu menerima golongan OKU untuk bekerja ataupun memecat mereka tanpa alasan kukuh.
“Lebih menyedihkan apabila terdapat syarikat-syarikat yang sanggup memilih untuk memecat golongan OKU terlebih dahulu apabila berlakunya penstrukturan semula pekerja-pekerja mereka dengan alasan tidak produktif,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.
Shahidon berkata demikian bagi mengulas cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kepada kerajaan untuk mengkaji semula mekanisme perundangan bagi mereka yang tidak mematuhi Akta OKU 2008.
Kelmarin, pemangku Pengerusi Suhakam Datuk Dr Khaw Lake Tee dilaporkan berkata, Akta OKU perlu dipinda kerana terdapat pihak yang menafikan hak dan peluang OKU dalam sistem pendidikan dan pekerjaan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pembangunan Orang Buta Malaysia, Jaafar Md Isa berkata, akta itu perlu ditambah baik dengan hukuman setimpal supaya kesalahan yang sama tidak diulangi.
“Ini juga bagi melindungi hak OKU seperti kami daripada diskriminasi masyarakat dan pihak yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman yang sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata golongan OKU yang menjadi mangsa diskriminasi sering dilihat tidak mendapat perlindungan sewajarnya meskipun aduan telah dilakukan.
“Mereka telah mengadu kepada pihak yang bertanggungjawab, namun akta itu tidak ada menyatakan apa tindakan seterusnya yang harus dikenakan ke atas pesalah. Hak OKU seolah-olah diremeh-temehkan apabila hanya membuat aduan dan tiada tindakan selanjutnya dibuat,” katanya.
Mengulas perkara sama, Pengarah Eksekutif Persekutuan Orang Pekak Malaysia, Mohamad Sazali Shaari pula mahu agensi kerajaan dan swasta lebih peka dan memahami keperluan pendidikan OKU.
“Akta OKU 2008 digubal bagi menyedarkan masyarakat kita akan kewujudan OKU serta memahami keperluan mereka, namun ada pihak-pihak yang masih belum mengikuti sepenuhnya.
“Sebagai contoh, negara kita masih menggunakan Bahasa Isyarat Kod Tangan Bahasa Melayu walhal kita perlu menggunakan bahasa isyarat nasional dalam pendidikan seperti yang telah termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Hak Orang Kurang Upaya,” katanya. – Bernama
Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");