Sukan Hari Ini

Haram 15 individu

Alor Setar: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar) mengarahkan tindakan pengharaman diambil terhadap 15 individu dipercayai ahli kumpulan Inter Johor Firms (IJF) daripada memasuki stadium bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala AFF 2014 antara Malaysia menentang Thailand di ibu negara pada Sabtu depan.

Menurut Khairy, pihaknya akan mematuhi peraturan keselamatan secara lebih ketat bagi memastikan kawasan yang menempatkan penyokong daripada kedua-dua negara tidak dicerobohi oleh mana-mana pihak.

Katanya, mereka yang dikenal pasti terbabit dalam kejadian memukul penyokong Vietnam pada perlawanan separuh akhir pertama Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam pada Ahad lalu juga tidak dibenarkan untuk memasuki stadium pada perlawanan akan datang itu.

“Mereka itu sukar untuk dikesan, jadi saya berharap pihak berkuasa dapat menjalankan risikan awal untuk mengenal pasti individu terbabit dalam insiden di Stadium Shah Alam agar tidak dibenarkan masuk.

“Tujuan kita adalah untuk membendung gejala samseng bola sepak di kalangan penyokong kita supaya kejadian lalu tidak berulang kepada penyokong pasukan Thailand,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Hello YB anjuran BN Youth Volunteers (BNYV) Kedah, di sini, semalam.

Pada masa sama, Khairy turut mengucapkan terima kasih kepada kelab bola sepak dan kerajaan Vietnam atas layanan baik yang diberikan kepada penyokong Malaysia ketika perlawanan separuh akhir kedua di Hanoi pada Khamis lalu.

“Saya begitu terharu dengan layanan baik diberikan pihak mereka (kelab bola sepak dan kerajaan Vietnam) terhadap penyokong kita (Malaysia) ketika perlawanan itu.

“Mungkin layanan baik itu diberikan berikutan tindakan pantas kita memohon maaf kepada pihak mereka dan bagi saya, Vietnam mungkin mengiktiraf permohonan maaf yang dibuat itu,” katanya.

Katanya, beliau berharap pihak berkuasa Malaysia juga dapat mengambil tindakan tegas terhadap samseng bola sepak terbabit supaya gejala sama tidak berulang pada masa akan datang demi maruah sukan negara.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");