Membawang Hari Ini

Heliza: ‘Perjuangan belum selesai’

UMUM barangkali sedia maklum kehadiran personaliti cantik ini antara selebriti yang aktif dalam aktiviti berkebajikan menerusi penyertaannya dalam pelbagai aktiviti dalam NGO seperti Muslim Care dan Aman Palestin.

Tidak mengambil kira segala risiko yang ada, Nur Heliza Helmi, 28, sering menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan ke negara bergolak.

Dek kerana itu juga, penulis rasakan tidak salah untuk melabelkan penyanyi, pelakon, pengacara dan pakar motivasi, sebagai Ikon Perjuangan.

Namun bagi anak kelahiran Kuala Terengganu ini, perjuangannya masih lagi belum selesai dan banyak lagi perkara yang perlu dilakukannya.

“Bagi saya, masih banyak lagi perjuangan yang perlu saya lakukan, perjuangan dengan diri sendiri, bagaimana untuk sentiasa menjaga hati kita bagi menggelakkan kita bersangka buruk, perjuangan untuk memastikan kita dekat dengan ALLAH dan banyak lagi.

“Ikon Perjuangan itu pada saya terlalu besar, namun saya rasa keinginan untuk berjuang perlu ada dalam diri setiap manusia,” katanya kepada Zass baru-baru ini.

Baru sahaja pulang dari menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk untuk rakyat Syria, Heliza berkata, hatinya cukup tersentuh sepanjang berada di sana.

“Misi kami yang meliputi kawasan Syria dan sempadan Turki. Saya ke sana bersama Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre, Ustaz Nazmi Abdul Karim, abang Aziz M Osman, Fadzli UNIC, Mus (Usrah Fitrah) dan Team Muslim Care.

“Tujuan misi kami pada kali ini adalah untuk membantu Maahad Muslim Care di Rayhanli di sempadan Turki-Syria seperti memberi bantuan baju tebal dan kasut untuk anak-anak pelarian.

“Selain itu, kami turut menyumbangkan bantuan lain seperti gandum untuk penduduk yang terkepung di Ghutoh Timur Damsyik.

“Kami juga berkesempatan untuk berbual dengan penduduk di sana dan Masya-ALLAH, saya cukup tersentuh dengan kekuatan mereka menghadapi peperangan seperti ini.

“Ada seorang wanita yang sudah kematian suami, dan dia begitu gembira kerana suaminya syahid. Mati dengan jari menunjuk syahadah dan tersenyum,” katanya yang pernah menyertai misi ke Syria anjuran Muslim Care Malaysia Society, pada pertengahan April lalu.

Bantuan berterusan

Menurut Heliza, dia berharap agar misi seperti ini akan berterusan kerana masyarakat di luar sana amat memerlukan bantuan daripada negara luar.

“Saya faham, ada ketika orang mempersoalkan kenapa kami tidak tolong rakyat negara sendiri.

“Tapi ini bukan bermakna kami tidak ambil kisah dengan kesusahan rakyat sendiri.

“Cuma di sini ada NGO yang membantu, malah jika susah sekali pun mereka masih ada tempat berlindung dan berpeluang untuk makan.

“Di sana, rumah mereka ranap sama sekali dan ada suatu kawasan di Syria, penduduknya terkepung kerana perang dan tidak boleh keluar. Mereka makan apa sahaja yang ada termasuk kotak dan rumput.

“Bahkan ada suatu ketika, ketika kami sedang duduk, tiba-tiba kami dikejutkan dengan letupan bom kira-kira lima kilometer dari tempat kami duduk.

Kami yang tidak biasa memang rasa menggigil, tapi mereka di sana seperti biasa sahaja,” katanya.

Justeru itu ujar Heliza, dia bersama sinergi Muslim Care dengan selebriti dakwah seperti Ustaz Syed Abdul Kadir Al Joofre dan beberapa artis terkenal tanah air seperti Neelofa, Diana Amir, Heliza Helmi, UNIC, Aziz M Osman, Afdlin Shauki dan Salima Habibi kini sibuk dengan Sebarkan Kasih Sayang 2014 (SKS2014) bagi menambah lagi dana untuk di bawa ke sana.

“Gabungan usaha dakwah ini bagi mendapatkan dana sebanyak RM1 juta dari rakyat Malaysia untuk disalurkan kepada mangsa peperangan di Syria.

“Kami berharap usaha ini akan mendapat sambutan kelak dan sesiapa yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan, mereka boleh menyumbangkan derma ke akaun Maybank (564490413882, Bank Islam (14014010147470), Bank Muamalat (4010007654717) dan RHB (26212000004747),” jelasnya.

Perancangan 2015

Bukan sahaja sibuk dengan misi bantuan kemanusiaan, Heliza berkata, dalam masa sama dia juga sibuk dengan beberapa perkara yang membabitkan perniagaan, kerjaya dan juga nyanyian.

“Saya masih lagi sibuk mengusahakan produk #exclusivebyhelizahelmi secara online, Dalam pada itu, produk terbaharu keluaran saya iaitu Heliza Chocolate baru sahaja berada di pasaran dan saya amat bersyukur kerana 4,000 coklat berjaya dijual dalam masa satu hari.

“Bahkan kini stok tidak cukup kerana permintaan yang terlalu tinggi. Saya sendiri tidak sangka kerana hanya menjual coklat berkenaan secara online di akaun, Heliza Helmi Production dan juga di Instagram saya, Nur Heliza Helmi,” katanya turut dilantik sebagai duta produk kosmetik, Silky White dan produk penjagaan rambut, Sunsilk.

Diusik mengenai perancangannya pada tahun 2015, Heliza berkata, hasrat untuk menerbitkan album dan buku motivasi yang sepatutnya direalisasikan pada tahun ini terpaksa di bawa ke tahun depan.

“Album tersebut akan mengandungi beberapa buah lagu, zikir, doa dan selawat. Keseluruhannya akan ada 10 lagu di dalam album berkenaan.

“Masih lagi dalam proses pembikinan, begitu juga buku motivasi saya yang masih dalam proses untuk disiapkan,” katanya yang akan turut tampil dengan program SIS dan Bacakan di TV9.

Selain itu, Heliza berkata, dia mengimpikan untuk membuka kilang coklat sendiri bagi memudahkan dia menguruskan pasaran coklatnya dengan lebih meluas lagi.

“Buat masa sekarang ada kilang lain yang tolong buatkan coklat dan tentunya saya mengimpikan untuk membuka kilang sendiri, sekali gus memasarkan coklat ini ke pasaran luar. Doa-doakan impian saya terlaksana,” akhirinya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");