Isu Panas

Isu Ustaz Ekspres: ‘Saya Tiada Agenda Peribadi’

ALOR SETAR : Teguran atau pandangan yang dilontarkan berhubung kenyataan wujudnya ‘ustaz ekspres, ustazah jadian’ dari kalangan artis yang berhijrah, bukan bertujuan menghina atau memperlekeh mana-mana pihak, sebaliknya merujuk kepada kekeliruan yang timbul dalam masyarakat Melayu-Islam.

Ketua Wanita Umno Baling, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, antara aspek yang dikupas berhubung kekeliruan itu, termasuk agenda dan rancangan musuh Islam dalam mencipta Islam versi baharu.

“Kita bimbang kekeliruan kebelakangan ini berpunca daripada tafsiran berbeza terutama dalam perkara kecil (furuk). Saya tegaskan, walaupun Islam menganjurkan kita merai perbezaan pandangan, jangan sampai umat Islam berbalah,” katanya.

Menurutnya, Sabda Rasulullah SAW: “Perselisihan di kalangan umatku adalah satu rahmat.’

“Namun, apa yang berlaku hari ini kekeliruan dalam kalangan orang Melayu-Islam yang membawa kepada perpecahan, bukan sahaja membinasakan kefahaman umat Islam terhadap agamanya, pemikiran dan ritual ibadah turut jadi sasaran,” katanya.

Berdasarkan konteks inilah, Mashitah berkata, beliau menyebut mengenai wujud golongan yang tidak mahir dalam bidang agama, termasuk segelintir artis yang baharu sertai Pas, bercakap mengenai soal agama dan hukum hakam sehingga menambah kekeliruan orang ramai.

Mashitah yang juga perwakilan Wanita Umno Kedah membangkitkan perkara itu, pada Perhimpunan Agung Umno, Khamis lalu, namun pandangannya disalah erti sehingga menimbulkan kemarahan banyak pihak, khususnya golongan artis yang berhijrah.

Antara kenyataan Mashitah yang menimbulkan kontroversi, apabila mengatakan kebanjiran golongan artis yang berhijrah dan giat berdakwah kebelakangan ini seolah menjadi trend, seterusnya bergelar ustaz ekspres dan ustazah jadian, terutama dalam Pas.

Katanya, istilah ‘ustaz ekspres, ustazah jadian’ bukan dicipta olehnya, sebaliknya ungkapan umum yang dibuat orang ramai terhadap mereka yang diketahui belum mahir dalam ilmu agama, tetapi menampilkan diri seperti ustaz/ustazah dan menyampaikan ceramah di khalayak tentang hukum hakam.

“Dalam ucapan saya, tidak salah mereka yang berhijrah berkongsi pengalaman dan semangat Islam tetapi sewajarnya mereka tidak sentuh soal hukum hakam apalagi menghukum orang lain,” katanya.

Mashitah turut mengalu-alukan usaha dakwah yang dilakukan golongan itu, yang mahu berkongsi pengalaman atau menceritakan kisah hidup mereka sebagai pengajaran, selain bersyukur mereka yang ‘berhijrah’ mendapat hidayah, untuk menjadi muslimin dan muslimat yang lebih baik.

“Yang saya bangkitkan ialah keadaan di mana mereka mengeluarkan pandangan atau bercakap mengenai perkara yang mereka tidak berapa tahu, sehingga menimbulkan kecelaruan masyarakat,” katanya.

Menurutnya, beliau kesal apabila ada pihak yang mendakwa perkara yang dibangkitkan itu remeh.

“Inilah antara punca masalah, apabila perkara asas dan penting dalam Islam dianggap remeh. Saya bangkitkan, eloklah kita elak berbincang masalah khilafiah kecuali mereka yang benar-benar layak iaitu ulama. Biarlah ulama bincang perkara-pekara khilafiah kerana mereka lebih pakar. Mereka yang tak berapa faham walaupun berkedudukan, janganlah ulas dan mengelirukan orang ramai,” katanya.

Mengulas mengenai kaedah pendakwah sama ada menyanyi atau berjenaka, katanya, beliau sekadar mengingatkan agar tidak keterlaluan sehingga mencacatkan ilmu yang hendak disampaikan.

“Setiap pendakwah ada kaedah tersendiri untuk menarik perhatian hadirin. Namun, kita harus tahu seimbangkan cara dan isi. Ceramah adalah majlis ilmu, bukan persembahan hiburan seperti Maharaja Lawak Mega. Audien juga dinasihatkan tidak memilih ceramah kerana ada jenaka tetapi kerana ilmunya,” katanya.

Menurutnya, dibimbangi jika terlalu banyak gelak ketawa, disulami percakapan berunsur lucah atau menghina orang lain, kelak majlis ilmu hilang keberkatannya.

Ditanya mengenai tuntutan permohonan maaf oleh Presiden, Panglima Malaysia, Sulaiman Ibrahim atau lebih dikenali Leman Raja Lawak, Mashitah berkata, tiada keperluan berbuat demikian berikutan kenyataannya bukan menghina sesiapa.

“Saya tiada agenda peribadi bangkitkan isu ini. Jangan putar belit kenyataan saya. Tanggungjawab semua menegur apa yang tidak betul dalam masyarakat, saya pernah bangkitkan perkara sama di forum lain, termasuk ceramah. Saya cadangkan beliau meneliti ucapan saya, bukan sekadar memetik sebaris dua petikan,” katanya.

-sinarharian-

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");