Sukan Hari Ini

Janji Wei Feng

ANDAI dibuat perbandingan, pemain perseorangan negara, Chong Wei Feng mungkin masih jauh ketinggalan di belakang pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Malah kegagalan demi kegagalan yang diraih di pentas antarabangsa juga memberi gambaran jelas bahawa pemain berusia 27 tahun itu masih belum mampu menggantikan Chong Wei andai menggantung raket kelak.

Bukan itu sahaja, prestasi yang dipamerkan Wei Feng ketika ini turut mengecewakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang menganggap pemain ranking 32 dunia itu tidak mampu menggalas tanggungjawab yang diberi dengan baik.

Berdasarkan situasi itu, ramai pihak semakin meragui keupayaan Wei Feng lebih-lebih lagi untuk memburu tiket beraksi di Sukan Olimpik 2016.

Masih perlu masa

Mengakui belum mampu untuk berada di kelas terbaik, namun Wei Feng berjanji dan menetapkan tempoh setahun setengah sahaja lagi bagi membolehkannya menjadi seperti Chong Wei.

“Pada ketika ini, memang Chong Wei berada pada kelas tersendiri.

“Sehingga kini, saya masih belum mampu untuk menewaskannya. Namun, saya yakin, dalam tempoh setahun setengah lagi, saya mungkin mampu untuk menjadi sepertinya,” katanya.

Tak patah semangat

Pada masa sama, meskipun masih dilabel sebagai bahagian paling lemah dalam skuad negara dan langsung tidak diberi harapan oleh peminat serta pemerhati badminton tanah air, namun kerana semangat juang tinggi, Wei Feng langsung tidak patah semangat menerima segala kritikan.

Tegas Wei Feng, dia akan tetap menyiapkan diri ke tahap terbaik untuk menyumbang mata setiap kali diberi kepercayaan beraksi.

“Kemampuan saya mungkin belum meyakinkan banyak pihak, tetapi saya adalah pejuang dan sebagai pejuang saya akan bermain mati-matian untuk membantu pasukan saya menang.

“Saya tidak kisah apa orang hendak kata, pada saya tanggungjawab saya adalah bermain dan saya akan bersiap untuk memastikan saya memberi permainan terbaik,” katanya.

Idam emas Olimpik Rio 2016

Tidak mahu menoleh ke belakang, kini, pemain berusia 27 tahun itu mempunyai impian untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik 2016 selain menempatkan diri dalam skuad Piala Sudirman negara tahun depan.

Meskipun temasya sukan terbesar itu hanya akan berlangsung kira-kira dua tahun lagi, namun Wei Feng mahu memastikan satu tiket mampu menjadi milik dia.
“Saya mempunyai impian besar dalam sukan badminton.

“Seperti kebanyakan pemain, saya juga mempunyai sasaran untuk meraih kejayaan pada Sukan Olimpik di Rio.

“Tiada apa yang lebih manis berbanding kejayaan di pentas Olimpik.

“Namun, sebelum itu, saya perlu berusaha keras dan memastikan prestasi saya berada di tahap terbaik,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");