Jenayah

Jeritan penyelamat keluarga

Kota Tinggi: Jeritan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun menyelamatkan keluarganya daripada rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di FELDA Sungai Sayong, di sini, kira-kira jam 4 pagi semalam.

Mangsa Hamidah Mohd Karim, 37, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana sedang bekerja.

Menurutnya, yang berada di rumah ketika kejadian itu adalah ibunya bersama tiga anaknya serta seorang anak saudara berusia antara 10 dan 15 tahun.

“Kejadian itu disedari anak perempuan saya yang sedang tidur di dalam bilik selepas tangannya terasa panas, manakala rambutnya pula berasa seperti terbakar.

“Dia kemudian menjerit mengejutkan yang lain untuk menyelamatkan diri sebelum penduduk kampung dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat datang untuk memadamkan kebakaran,” katanya.

Hamidah yang juga anak keenam daripada tujuh beradik tinggal bersama ibunya, Acil Slaman, 70, di rumah peninggalan bapanya yang meninggal dunia 13 tahun lalu.

Menurutnya, dia hanya dapat tahu mengenai kejadian itu kira-kira jam 6 pagi selepas dimaklumkan oleh adiknya sebelum bergegas pulang.

“Saya amat terkejut apabila diberitahu bahawa rumah kami terbakar. Ketika saya pergi ke tempat kerja di sebuah kilang di Kulaijaya pada jam 6 petang itu keadaannya seperti biasa, tidak sangka pula berlaku kebakaran sehingga menyebabkan seluruh rumah terbakar.

“Kejadian turut menyebabkan sebahagian kereta Perodua Viva milik saya rosak terkena bahang api walaupun sempat diselamatkan oleh penduduk,” katanya.

Sementara itu, Acil berkata, dia menyedari kebakaran berkenaan apabila dikejutkan cucunya dan mendengar bunyi letupan kuat sebelum terlihat api yang sedang marak di bilik cucunya.

“Saya terus bawa semua cucu ke bahagian belakang rumah untuk keluar menyelamatkan diri. Kami tidak boleh berlari ke ruang hadapan rumah kerana ketika itu api sudah marak di bahagian terbabit.

“Tiada satu barang sempat kami selamatkan, malah semua dokumen penting turut terbakar dalam kejadian ini tetapi saya tetap bersyukur kerana kami semua selamat,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");