Berita Hari Ini

Kaji risiko kepada rakyat sebelum isytihar darurat -Rais Yatim

KUALA LUMPUR : Darurat tidak boleh diisytihar tanpa mengkaji risikonya secara menyeluruh terhadap rakyat kerana undang-undang darurat berbeza dengan undang-undang biasa, kata Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Rais berkata, dalam pentadbiran undang-undang darurat, apabila dilaksanakan ia akan menyebabkan rakyat tidak bebas bergerak dan menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

“Apabila darurat, nak keluar rumah pun tidak boleh. Antara syarat untuk mengisytiharkan darurat, ia mesti bersandarkan kepada situasi yang mana orang ramai tidak lagi jelas untuk ‘melihat ke bawah’.

“Namun dalam keadaan banjir pada ketika ini, penglihatan orang ramai masih lagi jelas, bot boleh digunakan dan masuk ke kawasan terjejas, malah bantuan juga dapat disampaikan,” katanya dalam program radio Nasionalfm hari ini.

Rais yang juga berkelulusan undang-undang berkata, dalam mentadbir situasi banjir yang berlaku di beberapa negeri ketika ini, kerajaan negeri sepatutnya mengambil inisiatif dan bertindak lebih awal kerana ia berlaku di bawah pentadbiran kerajaan negeri dan daerah masing-masing.

“Apa yang berlaku sekarang, terus pergi kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), seolah-olah beliau yang menjaga perjalanan kosmik cakerawala. Ini tidak adil.

“Kerajaan negeri seharusnya berbuat baik dengan kerajaan pusat dan bentangkan masalah berkaitan yang dihadapi kepada kerajaan pusat untuk bantuan. Bukan terus menyalahkan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau turut menyelar para pemimpin kerajaan negeri yang mengenepikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang jelas termaktub berhubung fungsi dan tanggungjawab mereka bersama kerajaan Persekutuan.

Ini kerana beliau mendapati senario pada hari ini banyak menggunakan sentimen siasah yang secara langsung mengkritik pemimpin kerajaan Persekutuan tanpa asas terutamanya menerusi Internet dan aplikasi media sosial.

“Beliau (Najib) tidak seharusnya perlu ada pun di tepi sungai. Itu bukan kerja beliau. Kerja beliau ialah untuk menentukan dasar dijalankan. Takkan ayam tidak berkokok, masakan hari tidak siang?” jelas Rais.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");