Membawang Hari Ini

Kamal Adli Terkilan Liyana Jasmay Temukan Intan Ladyana Kekasih Baharu

PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli terkejut selepas mendapat tahu aktres Intan Ladyana sudah menemui pengganti selepas tiga bulan hubungan cinta mereka putus iaitu pada akhir Ramadan lalu.

Kamal, 28, berkata, dia mendapat tahu perkara itu apabila pengikut di Instagram Intan meletakkan tanda ‘tagged’ gambar pelakon itu dengan seorang lelaki di akaun laman sosial miliknya.

“Saya masih dalam proses memulihkan perasaan daripada terus merindui Intan tetapi saya benar-benar terkejut apabila seorang peminat telah “tagged” gambar Intan bersama teman-teman termasuk seorang lelaki ketika percutian mereka di Venice.

“Saya tidak menyangka dalam masa terdekat ini dia sudah boleh meneruskan hidupnya dengan orang lain,” katanya kepada mStar Online.

Kamal ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri #Antidot di Sri Pentas, Bandar Utama di sini pada Selasa.

Terdahulu mStar Online pada Isnin menyiarkan pengakuan teman baik Intan iaitu Liyana Jasmay yang mendedahkan telah memperkenalkan Intan dengan seorang pemuda iaitu teman kepada suaminya.

Namun Liyana menafikan dia menjadi punca keretakan hubungan Intan dan Kamal kerana pertemuan wanita itu dengan individu berkenaan berlaku selepas pasangan tersebut putus cinta.

Dalam pada itu, Kamal mendedahkan sebelum mendapat tahu Intan sudah menemui pengganti, dia masih menghantar mesej kepadanya hampir setiap hari kerana mahu memujuk biarpun tidak pernah dibalas.

Bagaimanapun kata Kamal, dia berhenti daripada terus menghantar mesej selepas menyedari kedudukannya selain mahu menghormati privasi kehidupan Intan.

“Saya cuba perbetulkan keadaan tetapi semakin lama kami semakin jauh… jadi sudah tiba masanya saya perlu lupakan dia. Bukan mudah kerana sepanjang enam tahun kami bercinta saya bahagia bersama dia. Mungkin sudah tertulis dia bukan jodoh saya,” jelasnya.

Lelaki (berbaju kotak) di sebelah Intan dikaitkan dengan Intan ketika ini.

Sementara itu, Kamal memberitahu dia terkejut apabila mendapat tahu intan mengenali lelaki berkenaan melalui rakan baiknya sendiri iaitu Liyana Jasmay.

Jelas Kamal, biarpun terasa hati dengan tindakan Liyana itu namun dia yakin niat aktres itu baik untuk melihat Intan gembira dan bahagia.

“Terus terang saya terkejut kerana Liyana rakan baik saya dan ada bermain dalam fikiran saya mengapa dia sanggup buat begitu ketika saya sedang berusaha memenangi hati Intan.

“Tetapi saya tidak salahkan Liyana kerana saya tahu dia berniat baik dan sebab itu saya tidak mahu berusaha lagi kerana enggan merosakkan kebahagiaan Intan sekarang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, bercakap mengenai #Antidot, Kamal memberitahu dia teruja menjayakan drama bersiri itu yang menampilkan jalan cerita berbeza mengenai serangan virus sehingga menimbulkan kekecohan dalam masyarakat.

Malah kata Kamal, bekerja di bawah arahan Kabir Bhatia juga memberinya banyak input tentang selok belok produksi dan gaya pengarahan yang baik.

“Drama bersiri ini sangat menarik dan Kabir bersama penulis skrip berjaya menampilkan sebuah karya yang berbeza daripada drama aksi sedia ada.

“Pengalaman yang saya dapat kutip daripada #Antidot juga cukup banyak tambahan pula Kabir seorang pengarah berkaliber,” katanya.

Tambah Kamal, selain #Antidot dia kini sedang sibuk dilokasi penggambaran drama bersiri Pergilah Airmata untuk siaran RTM sebanyak 28 episod.

Selain Kamal drama ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Remy Ishak, Nad Zainal, Nabil Huda dan Shahriza Mahmud.

Ia bakal bersiaran menerusi slot Aksi (TV3) bermula 9 Disember ini pada setiap hari Selasa pada pukul 10 malam.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");