Perak Hari Ini

Kerajaan Sediakan Pelan Menyeluruh Tangani Banjir di Perak

IPOH : Kerajaan Negeri Perak telah mengambil langkah yang sewajarnya bagi menangani isu banjir yang melanda negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memandang serius berkaitan isu banjir kerana taburan hujan yang tidak menentu telah melanda seluruh negeri seterusnya menyebabkan banjir berlaku.

“Hujan lebat sentiasa berlaku di waktu petang dan sehingga ke saat ini kita telah mendapat laporan berkaitan dengan keadaan hujan yang lebat dan banjir di kawasan Kerian dan juga Perak Selatan seperti di daerah Hilir Perak dan Batang Padang.

“Banjir ini disebabkan oleh air sungai yang melimpah dari Sungai Bidor dan Tapah manakala daerah Kerian pula melibatkan pengairan air yang tidak lancar berikutan kedudukan tanahnya yang agak rata,” katanya.

Beliau berkata lagi Kerajaan Negeri telah merancang pelan secara menyeluruh bagi mengelak keadaan itu terus berlarutan.

“Kita telah mengambil tindakan dengan mewujudkan pelan mitigasi banjir dimana pada masa ini sedang dalam pelaksanaannya di salah satu daerah iaitu Kerian.

“Ia bertujuan untuk memastikan kawasan yang menghadapi banjir teruk dapat diatasi dengan begitu baik sekali.

“Meskipun mempunyai kerja-kerja untuk melaksanakan mitigasi banjir di daerah Kerian, tetapi ia masih lagi dalam proses dan tentunya mengambil masa,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di pejabatnya, hari ini.

Jelasnya, projek yang menelan belanja kira-kira RM300 juta itu dilihat secara menyeluruh dan mengikut jadual seperti yang ditetapkan.

“Setakat ini saya difahamkan bahawa pelan berada dalam landasan yang baik serta mengikut jadual dan kos keseluruhannya telah ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan.

“Walaubagaimanapun, mereka juga sedang melihat daripada segi kesan-kesan akibat banjir dan sejauh mana ia meninggalkan kesan baik kepada pelan itu.

“Kita jangkakan projek ini akan siap pada tahun 2016 atau 2017 nanti bergantung kepada kawasan berkenaan,” ujarnya.

Tambahnya, ia mengambil masa yang lama berikutan melibatkan berpuluh kawasan yang berada di sekitar Kerian.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelan itu juga akan dilaksanakan di daerah lain yang turut terlibat dalam banjir.

“Melalui pelan yang kita ambil secara menyeluruh dalam tempoh beberapa tahun ini juga, kita akan melaksanakannya di beberapa daerah lain.

“Antaranya di daerah Batang Padang di mana pelan mitigasi bagi kawasan tersebut adalah mendalamkan sungai berikutan punca berlakunya banjir di situ adalah disebabkan oleh dasar sungai yang cetek,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");