Sukan Hari Ini

Kim Swee kecil hati

Kuala Lumpur: Kecewa dengan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Ong Kim Swee dikatakan bersedia menilai semula kontraknya bersama badan induk itu.

Perkara itu didedahkan sumber rapat FAM yang mendakwa keputusan mengejut badan induk itu ‘menyingkirkan’ pengendali berkenaan daripada skuad Harimau Muda A dan diberikan tugas sebagai pencari bakat dianggap tidak menhormati pencapaiannya.

Menurutnya, walaupun terpaksa menerima keputusan itu Kim Swee nyata ‘terasa hati’ kerana menganggap segala sumbangannya sebelum ini seperti tidak diiktiraf FAM.

“Saya difahamkan Kim Swee amat kecewa dengan keputusan FAM. Keputusan itu amat mengejutkan kerana tidak mengikut perancangan awal.

Pada saya pergolakan ini berlaku kerana ada pihak pengurusan yang campur tangan. Sebelum ini semuanya berjalan lancar, tapi bila individu itu mula terbabit dengan pengurusan Harimau Muda, segala-galanya jadi kucar-kacir.

“Ramai yang melihat pelantikan Razip (Ismail) sebagai jurulatih baru Harimau Muda A tidak tepat jika kita mengambil pencapaiannya bersama Harimau Muda B dalam aksi Liga Singapura.

“Bukan mahu menidakkan keupayaan Razip, tapi Kim Swee sudah membuktikan beberapa kejayaan bersama Harimau Muda A,” kata sumber itu yang enggan mendedahkan nama individu yang mahu menyingkirkan Kim Swee itu.

Keputusan FAM untuk menyerahkan tugas mengemudi Harimau Muda A mengharungi Liga Singapura musim depan dan Kelayakan B-23 AFC 2016 kepada jurulatih Harimau Muda B diumumkan kelmarin oleh Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Selepas ‘dilucutkan’ jawatan, Kim Swee yang membawa skuad B-23 negara mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2011 hanya diberi tanggungjawab untuk memantau pemain B-23 dalam liga domestik untuk diserapkan ke skuad Sukan SEA 2015 pada Jun depan.

Razip, bekas jurulatih Kuala Lumpur sudah dua musim mengendalikan Harimau Muda B dalam Liga S dengan menduduki tangga ke-11 dan tercorot pada 2012 dan 2013.

Sumber itu berkata, Kim Swee kini memikirkan masa depannya bersama FAM dan bersedia menimbang tawaran daripada kelab dan persatuan negeri.

“Beliau mengakui masih sayangkan Harimau Muda dan disebabkan itu sanggup menyambung kontrak hingga hujung tahun depan, tapi apabila masalah seperti ini timbul beliau mungkin angkat kaki.

“Jika benar Kim Swee meninggalkan Harimau Muda, ia amat merugikan kerana beliau bagus,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");