Membawang Hari Ini

Lakonan hebat Ben Kingsley

MASIH ingat dengan watak antagonis kacukan British – Cina, The Mandarin yang menjadi pemimpin pengganas antarabangsa sekali gus musuh utama Iron Man dalam siri ketiga filem berkenaan?

Namanya The Mandarin dan pastinya penonton terfikir watak itu dibawa bintang berbangsa Cina.

Dek mahukan kelainan, pengarah filem Iron Man 3, Shane Black berani mengambil risiko apabila menawarkan watak berkenaan kepada pelakon berbakat besar, Sir Ben Kingsley dan percaturannya itu ‘menjadi’ apabila Kingsley mampu menjiwai watak dengan baik.

Bakat lakonan Kingsley sememangnya tidak harus dipertikaikan lagi kerana menerusi filem biopik Gandhi, dia berjaya mencipta nama di persada Hollywood.

Sehingga hari ini, lakonan dan penghayatan Kingsley dalam membawakan watak Mohandas ‘Mahatma’ Gandhi iaitu pemimpin India yang cukup disegani dunia masih dianggap terbaik dalam sejarah penghasilan filem biografi.

Filem arahan Richard Attenborough yang ditayangkan pada 1982 itu, mencatat kejayaan gemilang dalam Anugerah Akademi ke-55 pada 1983 apabila membolot lapan daripada 11 anugerah.

Tidak cukup itu, aktor berusia 70 tahun ini turut memenangi pelbagai anugerah menerusi filem lakonannya Schindler’s List (1993), Sexy Beast (2000), Anne Frank: The Whole Story (2001) dan House of Sand & Fog (2003).

Begitupun, kejayaan demi kejayaan dikecapinya itu bukan bermakna Kingsley tidak pernah tersilap langkah.

Tindakannya menerima tawaran berlakon filem adaptasi permainan video, Bloodrayne arahan Uwe Boll menimbulkan tanda tanya.

Semua sedia maklum, Boll terkenal kerana ‘merosakkan’ sesuatu naskhah adaptasi malah kerana filem ini, Kingsley hampir dianugerahkan Pelakon Pembantu Paling Teruk Anugerah Raspberry.

Tampil dalam Night At The Museum 3

Dalam perkembangan lain, Kingsley atau nama sebenarnya Krishna Pandit Banji akan tampil dalam siri ketiga filem Night At The Museum mulai Krismas ini.

Filem ini dilakonkan Ben Stiller, Skyler Gisondo, Rebel Wilson, Robin Williams, Dan Stevens, Owen Wilson, Ricky Gervais, Steve Coogan.

Night At The Museum 3 mengisahkan Ahkmanrah diperdaya untuk membuka laman di Underworld dan akhirnya perlu melarikan diri dari Kahmunrah yang jahat.

-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");