Berita Hari Ini

Lingua franca peringkat global

Beijing: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penubuhan Pusat Pengembangan Bahasa Melayu di China ini dalam usaha menjadikan bahasa itu bahasa antarabangsa dan dikembangkan ke seluruh dunia.

Timbalan Perdana Menteri berkata pusat itu akan diwujudkan di Beijing Foreign Studies University (BFSU) di sini dengan universiti itu bertindak sebagai peneraju utama dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai urus setia bagi pihak kerajaan Malaysia.

“Usaha kerajaan (Malaysia) itu adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu dan menjadikan bahasa itu sebagai lingua franca di peringkat antarabangsa,” katanya ketika melancarkan Program Pengembangan Bahasa Melayu di BFSU, Selasa.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, pertambahan jumlah universiti di negara ini yang menawarkan kursus bahasa Melayu memberi sumbangan besar kepada persefahaman yang wujud antara rakyat China-Malaysia serta melonjakkan nilai ekonomi bahasa itu.

“Lonjakan yang cukup membanggakan ialah pertambahan jumlah universiti di negara ini yang menawarkan kursus ijazah bahasa Melayu,” katanya.

Selain BFSU, kini terdapat tujuh buah universiti lain yang menawarkan kursus berkenaan di peringkat ijazah di negara ini, katanya.

Universiti berkenaan ialah Universiti Peking, Universiti Komunikasi China, Universiti Pengajian Asing Guangdong, Universiti Bangsa Guangxi, Universiti Bangsa Yunnan, Akademi Tentera Louyang dan yang terbaharu Universiti Pengajian Asing Tianjin.

Muhyiddin berkata, beliau dimaklumkan bahawa beberapa buah universiti di provinsi lain di China juga merancang membuka program bahasa Melayu.

Beliau turut menghargai sumbangan Radio China Antarabangsa (CRI) melalui Bahagian Bahasa Melayunya kerana menjadi jambatan yang menghubungkan pelbagai pendengar di sebahagian dunia melalui siaran berbahasa Melayu yang interaktif sifatnya.

Kerajaan, katanya, akan meneruskan bantuan yang diberikan sejak 1996 seperti penghantaran pegawai bahasa oleh DBP ke beberapa universiti dan CRI.

Selain itu, pengiriman bahan rujukan dan bahan pengajaran serta program latihan tenaga pengajar bahasa Melayu di negara ini ke Malaysia, turut diteruskan.

BFSU, kata Muhyiddin, menawarkan kursus ijazah bahasa Melayu sejak 1961 dan telah melahirkan banyak pegawai diplomat, penyiar, pensyarah, wartawan, penterjemah dan guru untuk berkhidmat khususnya di negara-negara berbahasa Melayu.
Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Kursi Pengajian Melayu di BFSU pada 2007. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");