Perak Hari Ini

‘Living Muzium’ Bakal Jadi Tarikan Utama Pelancong Ke Pulau Pangkor – Dr. Zambry

PULAU PANGKOR: ‘Living Museum’ atau ‘Muzium Hidup’ akan menjadi satu tarikan baru ke pulau peranginan yang terkenal di Perak ini  apabila ianya siap kelak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, perancangan untuk mewujudkan muzium itu adalah hasil daripada perbincangan Kerajaan Negeri dengan Unit Perancangan Ekonomi (EPU), bagi menjadikan Pulau Pangkor sebagai tarikan utama pelancongan.

“Konsep ‘Living Museum’ bermaksud ia boleh memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang datang ke sini,  melihat dan merasai sendiri perihal kehidupan masyarakat di Pulau Pangkor ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan di sini, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan projek tersebut bakal dijalankan oleh agensi-agensi yang dilantik dan mendapat peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Saya telah mengarahkan Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Majlis Daerah Manjung serta semua jabatan yang terlibat, mengadakan perbincangan lanjut mengenai konsep, idea dan imaginasi bagi mewujudkan Pangkor sebagai ‘Living Muzium.

“Projek ini turut akan dibangunkan di Teluk Muruh atau Padang Tembak iaitu kawasan pesisiran pantai,” katanya.

Jelasnya, Pulau Pangkor merupakan satu kawasan yang terkenal dengan aktiviti perikanan dan ia mampu menjadi salah satu aset kepada bidang pelancongan di kawasan tersebut.

“Bagi sesiapa sahaja yang datang ke sini, mereka akan dapati, Pangkor lebih dikenali sebagai pusat perikanan dan wujudnya perkampungan perikanan di sini.

“Maka, apabila pelancong datang, mereka ingin merasai kehidupan tersebut dan lantaran itulah kita perlu mewujudkan perkampungan-perkampungan yang masih lagi berasaskan kehidupan kampung nelayan dengan mencorakkan Pangkor itu dengan lebih tersusun,” kata Dr Zambry lagi.

Dalam pada itu, beliau  juga telah meminta pihak MPM dan pejabat daerah berbincang dengan pihak Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS).

“Pada dasarnya, Kerajaan Negeri telah pun meminta mereka bagi mendapatkan pandangan daripada pihak KUISAS berikutan mereka mempunyai kepakaran dalam bidang landskap kerana salah satu daripada perancangan yang kita bincang dengan EPU adalah bagaimana untuk mewujudkan landskap yang cantik di Pulau Pangkor ini.

‘Maknanya, binaan landskap berkenaan haruskan mengekalkan kehijauan tumbuh-tumbuhan di hutan pulau ini yang sememangnya sudah digazetkan sebagai Hutan Simpan Kekal,” katanya.

Selain itu katanya, perkampungan di sekitar pulau tersebut juga akan diatur dengan sebaik mungkin bagi menjadikan ia lebih menarik pengunjung ke situ.

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");