Berita Hari Ini

Mueller Perlukan Sentuhan Ajaib Pulihkan MAS – Nur Jazlan

JOHOR BAHARU: Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd (MAS) yang baharu, Christoph R Mueller memerlukan sentuhan ajaib bagi memulihkan syarikat penerbangan nasional yang bermasalah itu.

Ini kerana cabaran yang bakal dihadapi untuk mengembalikan zaman kegemilangan MAS berbeza dengan situasi syarikat penerbangan di Eropah, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed.

“Saya harap beliau dapat melakukan ‘magik’ untuk memulihkan semula MAS memandangkan syarikat penerbangan negara kini berdepan banyak masalah dari segi operasi perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Beliau mengakui Mueller mempunyai rekod yang baik, tetapi persoalannya ialah sama ada pengalamannya boleh digunakan di Malaysia kerana industri penerbangan Asia Tenggara berbeza dengan Eropah.

Nur Jazlan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Kemaskini Penerima BR1M di Pusat Khidmat Parlimen Pulai cawangan Bukit Indah di sini, hari ini.

Menurutnya, kebanyakan syarikat penerbangan di Eropah tidak dimiliki kerajaan manakala di Asia Tenggara, khususnya Malaysia dimiliki kerajaan.

Malah katanya, Mueller pasti berdepan kesulitan memulihkan MAS untuk jangka masa panjang terutama selepas dua tragedi membabitkan pesawat MH370 dan MH17.

Beliau percaya Mueller boleh memulihkan MAS untuk jangka masa pendek sahaja berikutan persaingan daripada syarikat penerbangan Timur Tengah serta syarikat penerbangan tambang rendah.

Khazanah Nasional Bhd sebelum ini mengumumkan pelantikan Mueller sebagai CEO baharu MAS berkuatkuasa 1 Januari 2015 dan bakal menyertai lembaga pengarah pada suku kedua tahun depan.

Beliau yang berasal dari Jerman merupakan CEO Aer Lingus sejak 2009 dan mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam sektor penerbangan, logistik dan pelancongan.

Nur Jazlan yang juga Anggota Parlimen Pulai turut menyarankan agar kerajaan merangka pelan jangka panjang bagi memastikan pemberian BR1M dapat diteruskan tanpa menjejaskan kewangan negara.

Menurutnya, walaupun harga harga minyak mentah dunia jatuh, kerajaan tidak berdepan masalah untuk mengimbangkan bajet bagi meneruskan pemberian BR1M.

Namun katanya, kerajaan perlu mencari jalan agar pemberian BR1M dapat diteruskan tanpa menjejaskan kewangan negara.

-mStar-

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");