Jenayah

Namawee kena Perintah Kehadiran Wajib 3 bulan

Muar: Penyanyi rap kontroversi, Namawee dijatuhkan hukuman Perintah Kehadiran Wajib selama tiga bulan dan bon jaminan RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Muar, di sini, semalam, selepas mengaku salah cuba mengaibkan kehormatan seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Oktober 2009.

Namawee atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee, 31, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh Ketua Unit Pendakwaan Johor, Saiful Edris Zainuddin.

Berikutan pengakuan bersalah itu, Hakim Roziyanti Ahmad menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan terhadap Meng Chee atas kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Hishamudin A Aziz, membuat rayuan kepada mahkamah supaya hukuman diringankan berikutan tertuduh sudah mengaku bersalah.

Roziyanti kemudian menukar hukuman kepada Perintah Kehadiran Wajib selama tiga bulan yang akan dikendalikan oleh Jabatan Penjara dan mengenakan bon jaminan RM5,000.

Niat untuk mengaibkan

Mengikut pertuduhan, Namawee didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pengurusan Bekalan TNB di Jalan Temenggong Ahmad, di sini, dengan niat untuk mengaibkan kakitangan TNB, Wan Mohd Faizal Wan Hamat, pada 26 Oktober 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 24 September lalu, Namawee membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di mahkamah sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Saiful Edris dan Mohd Syukri.

Difahamkan, hukuman itu akan diuruskan Pusat Perintah Kehadiran Wajib di Hulu Langat, Selangor, manakala tempoh yang memerlukan kehadiran Namawee melaporkan diri akan ditentukan Urusetia Lembaga Parol, Jabatan Penjara.

-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");