Isu Panas

Noh: Azmin tidak layak bercakap soal keadilan

SEPANG – Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali didakwa tidak layak bercakap mengenai keadilan dan demokrasi kerana beliau sendiri menafikan amalan itu dalam pentadbirannya.

Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Selangor adalah contoh tiada amalan demokrasi kerana komposisi keanggotaan jawatankuasa berkenaan tidak seimbang memandangkan terdapat lima wakil Adun mewakili pakatan PKR, DAP dan Pas berbanding dua daripada BN.

Membidas kenyataan Azmin kononnya pembangkang diiktiraf bagi mengimbangi pengurusan, Noh berkata, pelantikan ketua pembangkang sebagai Pengerusi PAC hanyalah untuk dijadikan sebagai ‘pak turut’ atau ‘boneka’ semata-mata.

“Bagaimana Jawatankuasa PAC boleh berfungsi sekiranya Adun BN menjadi minoriti, sudah tentu tidak ada check and balance. Kalau Azmin nak cakap soal demokrasi, kena betulkan komposisi dalam Jawatankuasa PAC terlebih dahulu,” katanya pada program Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia dan pelancaran MyRezeki di Kampung Hulu Chuchoh, di sini.

Noh berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mohamed Azmin bahawa tawaran jawatan Pengerusi Jawatankuasa PAC kepada Ketua Pembangkang Selangor menunjukkan kerajaan negeri melaksanakan demokrasi serta tidak wujud amalan pilih kasih.

Menurut Noh, sekiranya Ketua Pembangkang Selangor dilantik mempengerusikan jawatankuasa itu, sudah tentu menjadi ‘kambing hitam’ untuk menutup kelemahan pentadbiran kerajaan negeri kerana tidak mampu bersuara dalam jawatankuasa itu.

“Konsep demokrasi ialah majoriti mengatasi minoriti. Bagaimana pengerusi hendak buat keputusan sekiranya majoriti dalam jawatankuasa itu terdiri daripada Adun PR dan akhirnya terpaksa tunduk pada tekanan,” katanya.

Beliau berkata, komposisi keanggotaan tiga Adun PR dan tiga Adun BN perlu ada dalam Jawatankuasa PAC untuk memastikan jawatankuasa lebih adil dan telus dalam membuat keputusan.

Noh turut mempertikaikan keadilan yang dilaungkan Azmin apabila hanya memberi peruntukan sebanyak RM200,000 kepada Adun BN sebaliknya Penyelaras Dun yang dilantik kerajaan negeri menerima RM500,000.

“Jika beliau adil, sudah tentu semua Adun diberi sama rata sebanyak RM700,000. Sekiranya Azmin menghormati konsep demokrasi dan keadilan, beliau perlu mengiktiraf Adun BN yang dipilih oleh rakyat dan tidak perlu melantik Penyelaras Dun,” katanya,

Dalam hal ini kata Noh, Mohamed Azmin hanya menipu rakyat kononnya mengamalkan demokrasi dan keadilan dalam pentadbiran sedangkan beliau sendiri tidak ikhlas dalam melaksanakannya.

“Bagaimana Adun BN yang dipilih rakyat dapat RM200,000 sedangkan Penyelaras Dun yang dilantik dapat RM500,000. Di mana konsep demokrasi dan keadilan yang dilaungkan oleh menteri besar selain hanya gula-gula untuk menyedapkan hati rakyat,” soalnya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");