Berita Hari Ini

Occupy UM8′ bukan satu perkara buang masa – Mahasiswa UM

KUALA LUMPUR: Tatkala ada di kalangan masyarakat berpendapat mereka yang menyertai ‘Occupy UM8’ sebagai satu perkara yang membuang masa, peserta-peserta ‘occupy’ ini mempunyai jawapan mereka tersendiri kenapa mereka menyertai ‘Occupy UM8’.

Pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Pengurusan UM, Ahmad ‘Aqiel Abd Rahim, 22, berkata ‘Occupy UM8’ adalah satu perkara yang tidak membuang masa kerana ia mempunyai matlamat dan hala tujunya sendiri.

“Apa yang kami buat sepanjang ‘occupy’ adalah proses untuk kami mencapai matlamat dan arah tuju ‘occupy’ ini,” kata Ahmad ‘Aqiel.

Solidariti UM8 ini turut mendapat sokongan daripada Teh Wei Loon, 21 yang baru sahaja dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PPUM).

Teh berkata dia percaya kumpulan UM8 ini tidak patut dipersalahkan.

“Apa yang dilakukan oleh mahasiswa sekarang di mana mereka sedang bersolidariti ini adalah untuk tunjuk mereka tidak akan berputus asa dan saya menyokong penganjuran ‘Occupy UM8’ ini,” kata Teh malam semalam selepas habis memberi pidato awam di tapak perkhemahan ‘Occupy UM8’.

Bagi mahasiswi tahun kedua jurusan Syariah UM, Nurul Shuhada Mamat, 21, beliau berkata beliau menyertai ‘Occupy UM8’ adalah untuk mendapatkan pencerahan ilmu.

“Saya menyertai ‘Occupy UM8’ sebagai bentuk pencerahan ilmu sebab kalau dalam kampus memang kami tidak dibenarkan tahu benda-benda macam ini.

“Jadi saya datang sini untuk tahu apa yang terjadi kepada UM8, apa yang mereka lalui dan apa yang mereka akan buat selepas ini. Saya mahu mendengar pendapat kedua-dua pihak daripada bahagian HEP UM dan juga UM8, sebab itu saya tergerak hati atas kesedaran untuk tahu perkara yang betul, jadi saya datang sini untuk menyertai occupy,” tambah Nurul Syuhada.

Sementara itu pelajar tahun ketiga Usuluddin Al-Quran dan Al-Hadith UM Siti Maryam Aj Jalilah Roslan, 23, berkata menyertai solidariti ‘Occupy UM8’ adalah tanda sokongan kepada sahabatnya.

“Saya rasa tidak bersetuju dengan hukuman yang dikenakan kepada UM8, dan beberapa yang terkena hukuman itu adalah sahabat saya sendiri.

“Jadi pada keesokan hari selepas UM8 dikenakan hukuman saya mendapat tahu ‘occupy’ untuk mereka akan diadakan di hadapan pintu masuk UM, jadi saya datanglah bersolidariti bersama-sama dengan sahabat-sahabat lain yang ada pada hari ini,” tambah Siti Maryam.

Siti Maryam berkata mahasiswa-mahasiswa yang menyertai ‘Occupy UM8’ ini mengisi masa mereka dengan sebaik yang mungkin.

“Yang ada kuliah mereka memang akan pergi ke kuliah, dan yang sebaliknya akan tetap duduk dan ‘occupy’.

“Dan ketika kami ‘occupy’, kami tetap membuat tugasan-tugasan yang diberikan pensyarah dan kami juga membuat ulang kaji memandang peperiksaan akan menjelang tidak beberapa lama lagi, tambah Siti Maryam.

Selain itu pelajar tahun ketiga Syariah Astronomi Islam, Fatimah Hanun Abdul Kadir, 22, berkata dia menyertai ‘Occupy UM8’ adalah untuk membantu memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Ada di antara orang ramai melihat ‘Occupy UM8’ sebagai satu perkara negatif namun sedikit sebanyak mereka sedar tentang isu yang berlaku di sini dan kenapa kami ber‘occupy’.

“Kami juga mahu buktikan penyokong-penyokong UM8 ini mampu juga berjaya dalam kelas atau dewan kuliah. Berada di sini bukan perkara yang membuang masa, tapi kami berada ini dengan dengan membuat perkara-perka yang bermanfaat, bukan sekadar duduk sahaja.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");