Isu Panas

Palanivel, Subramaniam jumpa ROS

KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel berkata beliau dan timbalannya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) minggu depan berhubung arahan mengadakan pemilihan semula jawatan bagi tiga naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) 2013-2016.

Palanivel berkata pihaknya juga menubuhkan satu jawatankuasa kerja khas dianggotai beliau dan Timbalannya, Datuk Seri S Subramaniam, pemimpin MIC peringkat akar umbi, termasuk kumpulan yang tidak berpuas hati dengan pemilihan naib presiden dan CWC MIC baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, pihaknya perlu berbuat demikian kerana ROS sudah memberi amaran untuk membatalkan pendaftaran MIC sekiranya mereka gagal menyelesaikan masalah pemilihan naib presiden dan CWC itu dalam tempoh 90 hari mulai 30 November lalu.

Pemilihan presiden, CWC

“Saya dan Dr S Subramaniam akan mengadakan perbincangan dengan ROS minggu depan bagi menyelesaikan masalah pemilihan naib presiden dan CWC berkenaan.

“Kami tidak mahu pendaftaran MIC dibatalkan, jadi kami perlu mengadakan perbincangan dengan ROS secepat mungkin mengenai pelbagai isu dibangkitkan ahli parti,” katanya ketika sidang media di ibu pejabat parti berkenaan, di sini, semalam.

Terdahulu, sekumpulan kira-kira 500 ahli MIC diketuai oleh bekas Ketua Pemuda MIC, Datuk T Mohan berkumpul beramai-ramai di pekarangan Ibu Pejabat MIC bagi mendesak Palanivel meletak jawatannya sebagai Presiden MIC.

Mereka juga turut melaungkan desakan supaya Palanivel meletakkan jawatan selain memasang kain rentang mengecam Presiden MIC itu.

Palanivel berkata tidak timbul soal penyelewengan dan salah laku dalam pemilihan anggota CWC dan naib presiden MIC, sebaliknya masalah itu lebih kepada pengesahan pemilihan oleh ROS.

Dalam pada itu, Palanivel juga menafikan dakwaan bahawa terdapat desakan kuat dalam kalangan ahli MIC supaya beliau meletak jawatan sebagai Presiden MIC.

ROS dalam suratnya pada 5 Disember lalu mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan CWC, selain pemilihan semula peringkat Bahagian MIC, di Bayan Baru, Bukit Gelugor, Subang, Bandar Baharu Kulim, Taiping, Tambun, Sepang dan Jasin.-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");