KAMPAR: Pasar Raya Besar Giant yang keenam dibuka di Perak hari ini.
Pasara raya yang menelan kos berjumlah RM58 juta itu dibuka di sini kerana mengambil kira lokasinya yang berada di bandar Universiti yang sedang pesat membangun.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek berkata, kewujudan pasaraya itu mampu membantu rakyat dengan adanya promosi yang ditawarkan.
“Saya melihat satu keadaan yang luar biasa berikutan ramai yang datang ke sini kerana ada promosi yang dibuat oleh Giant dimana mereka menawarkan harga yang berpatutan.
“Hari ini merupakan hari pertama ia dibuka dan saya fikir kalau begini keadaannya, Giant akan dapat keuntungan yang begitu besar,” katanya.
Menurutnya, kewujudan pasar raya itu menunjukkan keperihatinan syarikat itu terhadap keperluan masyarakat setempat dalam menyediakan pusat membeli-belah.
“Kewujudan pasar raya ini cuma akan diluluskan sekiranya ia memberikan manfaat kepada rakyat sekeliling.
“Oleh sebab itu, ramalan kita telah tepat apabila melihat sambutan pelanggan pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan pasar raya itu di sini, pada Isnin.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd merangkap pemilik Giant, Mr Tim Ashdown.
Tim berkata, pelaburan terhadap pasar raya tersebut sebagai maklum balas terhadap permintaan tinggi daripada pengguna yang mahu kemudahan peruncitan yang moden.
“Ia mampu menjana produk sampingan kepada penduduk setempat dimana barangan runcit dijual dengan harga yang berpatutan serta lebih rendah.
“Selain itu, ia juga mewujudkan kira-kira 300 peluang pekerjaan serta menyediakan peluang perniagaan kepada peniaga dan usahawan tempatan yang menyewa di pasar raya ini,” ujarnya.
Terdahulu, GCH Retail Malaysia telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM15,000 kepada Sekolah Kebangsaan Bukit Pekan sempena majlis perasmian bagi pasar raya tersebut.
Ia juga merupakan sebahagian program amal ‘Kembali ke Sekolah’ dimana sejumlah RM13,000 daripada sumbangan itu akan diagihkan kepada 130 pelajar bagi perbelanjaan persediaan persekolahan.
Manakala, jumlah selebihnya iaitu RM2,000 akan digunakan untuk menaiktaraf sistem komputer di sekolah tersebut.