Jenayah

Pasport Alvin, Ali ditarik balik

Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Imigresen menarik balik pasport Malaysia milik lelaki blogger seks, Alvin Tan berkuat kuasa serta-merta, semalam.

Perkara sama turut dilakukan terhadap aktivis politik, Ali Abdul Jalil yang sebelum ini didakwa di mahkamah kerana menghina kerabat diraja Johor dan Sultan Selangor sebelum melarikan diri ke Sweden.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim berkata, tindakan itu dibuat bagi menyokong saranan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas tindakan kedua-dua individu itu di media sosial hingga menimbulkan rasa tidak selesa rakyat di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya akan menghantar surat makluman secara rasmi kepada kedua-dua individu berkenaan mengenai penarikan balik pasport itu ke alamat terakhir mereka selewat-lewatnya hari ini.

“Kami juga akan mewartakan dalam akhbar tempatan mengenai penarikan balik pasport kedua-dua mereka.

“Sekiranya mereka ingin pulang ke Malaysia, mereka boleh memohon Sijil Perakuan Cemas yang dikeluarkan oleh Pejabat Perwakilan Malaysia di negara yang mereka bersembunyi sebelum dibenarkan kembali ke negara ini,” katanya pada sidang media, semalam.

Katanya, pihaknya turut menyenaraikan nama individu berkenaan dalam sistem keluar masuk antarabangsa yang diguna pakai Jabatan Imigresen.
Mustafa berkata, keputusan penarikan balik pasport itu tidak pernah dilakukan kepada mana-mana warga tempatan sebelum ini.

Menurutnya, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa saja yang menghina mahkamah, agama Islam atau raja-raja.
“Sebagai sebuah agensi bertanggungjawab, kami tidak akan memberi ruang kepada mereka yang bertindak di luar batasan.

“Tindakan itu sebagai pengajaran agar semua pihak berhati-hati dengan tindak-tanduk mereka dalam apa saja isu,” katanya.

Beliau berkata, Alvin dan Ali kini boleh diibaratkan pendatang haram di negara berkenaan.

Ditanya sama ada pihaknya akan meminta bantuan Wisma Putra untuk memaklumkan kepada dua negara terbabit mengenai penarikan pasport Alvin dan Ali, Mustafa berkata, perkara itu akan dilakukan jika pihaknya rasa ada keperluan.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");