Isu Panas

Pemilihan Semula Atau Hadapi Risiko Pendaftaran MIC Dibatalkan – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Mesyuarat ‘jawatankuasa kerja’ MIC di ibu pejabat parti yang berlangsung dalam suasana sedikit tegang Khamis lepas memberi gambaran betapa seriusnya krisis kepimpinan yang berlaku dalam parti politik itu.

Kehadiran ramai anggota parti termasuk mereka yang membuat bantahan terhadap Presiden parti Datuk Seri G. Palanivel semasa mesyuarat itu memberi isyarat masalah dalaman itu mesti diselesaikan segera sebelum keadaan menjadi parah.

Sebagai satu parti komponen utama Barisan Nasional (BN), yang mewakili masyarakat keturunan India di negara ini, ia perlu menyelesaikan masalah dalamannya berikutan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) kepada MIC supaya mengadakan pemilihan semula ketiga-tiga jawatan Naib Presiden dan 23 ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti.

Sejarah hitam yang tercatat dalam parti yang ditubuhkan pada Ogos 1946, jelas sekali memberi kesan kepada parti untuk bangkit semula selepas prestasi buruk dalam dua pilihan raya umum 2008 dan 2013 yang diterajui Palanivel kini mesti sedaya upaya mencari pendekatan ‘menang-menang’ dalam usaha menyelesaikan konflik yang timbul termasuk akan mengadakan pertemuan dengan ROS dan juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Usaha pertama Palanivel menubuhkan jawatankuasa khas bersama, terdiri daripada pucuk pimpinan (Palanivel dan timbalannya Datuk Seri Dr S.Subramaniam), lima pengadu yang membuat aduan kepada ROS berhubung dakwaan salah laku dalam pemilihan parti, membuktikan sikap terbuka Presiden MIC untuk menyelesaikan krisis berkenaaan.

Mesyuarat Khamis lepas dikenali sebagai ‘mesyuarat jawatankuasa kerja’ (oleh kerana CWC tidak sah susulan arahan ROS itu) kerana ia berbeza dengan mesyuarat sebelumnya apabila ia turut melibatkan enam bekas anggota CWC seperti bekas Ketua Pemuda Datuk T.Mohan, bekas Ketua Puteri S. Usha Nandhini, Datuk N.
Muniandy dan peguam mereka yang turut serta dalam mesyuarat dan menyuarakan pandangan mereka.

Dalam sidang media yang dihadiri lebih 50 wartawan dan jurugambar itu, Palanivel dilapor sebagai berkata, MIC perlu membincangkan isu ini dalam tempoh 90 hari dan menegaskan tidak mahu parti itu dibatalkan pendaftarannya.

Sama ada suka atau tidak, MIC hanya mempunyai dua pilihan iaitu mengadakan pemilihan semula barisan kepimpinan parti atau bersedia menghadapi kemungkinan risiko dibatalkan pendaftaran.

Menurut penganalisis politik, langkah selamat yang wajar diambil pucuk pimpinan adalah dengan mengadakan semula pemilihan parti dan membiarkan akar umbi menentukan siapakah yang menjadi pilihan untuk menerajui MIC seterusnya.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata pemilihan semula barisan kepimpinan MIC wajar dilakukan bagi membolehkan parti itu memainkan peranan yang lebih berkesan di dalam Barisan Nasional (BN).

“Kalau desakan ini membolehkan perubahan yang baik khususnya dalam memberi peranan yang lebih besar di dalam BN, maka pemilihan semula parti harus dilakukan. Ini sudah pasti akan memberi perubahan yang baik kepada MIC sekaligus menjadi parti yang efisyen di dalam BN.

“Bagaimanapun saya juga risau jika suara-suara yang mendesak pemilihan semula parti diadakan sebenarnya diracuni oleh pihak-pihak tertentu di luar parti. Semuanya terpulang kepada pimpinan MIC untuk menentukan keputusan yang wajar diambil selepas ini,” katanya kepada Bernama di sini.

Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dilihat berusaha memberikan komitmen akan memastikan MIC terus kukuh dan bergerak ke hadapan.

“Kita perlu menyelesaikan masalah yang ada dengan secepat mungkin. Perkara utama yang amat penting adalah MIC mestilah melangkah ke hadapan. Saya tidak mahu parti ini dibatalkan pendaftarannya,” kata Presiden MIC itu.

Persoalannya, jika pemilihan diadakan semula, apakah semua anggota MIC boleh menerima segala keputusan biarpun Palanivel kekal menjadi presidenSamsul Adabi berkata apabila berlakunya pemilihan semula seperti mana yang dikehendaki oleh ROS, maka adalah wajib anggota MIC menghentikan segala perbalahan dan rasa tidak berpuas hati serta kembali solidariti bagi menjamin keutuhan parti.

“Memang jika berlaku pemilihan semula sekali pun, rasa tidak puas hati itu tetap ada tetapi memang kita tidak boleh memuaskan hati setiap orang. Apa yang penting MIC kena kembali bersatu dan menumpukan kepada menarik sokongan masyarakat India menjelang pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Pada 5 Disember lepas, ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi 23 jawatan anggota CWC dan tiga jawatan naib presiden dalam tempoh 90 hari berikutan aduan mengenai penyalahgunaan kuasa dan perlakuan yang melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.

Sementara itu, Presiden Majlis Kelab Bell Belia Tamil Malaysia K. Murali pula berpendapat bahawa pemilihan semula jawatan bagi tiga naib presiden dan 23 anggota CWC tidak diperlukan buat masa ini.

Katanya, pemilihan hanya dilakukan kepada beberapa jawatan dan tidak melibatkan keseluruhan parti dan ia tidak akan membawa parti maju setapak ke hadapan.

“Jika pemilihan semula diadakan daripada jawatan utama parti termasuk Presiden, maka ia adalah sesuatu yang bermakna untuk melakukannya (pemilihan semula) kerana MIC pada masa ini MIC begitu lemah, tiada semangat dan terlalu banyak aduan mengenai Presiden parti,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, tidak banyak perbezaan dapat dilakukan kerana ini sebenarnya adalah agenda pihak tertentu bagi kepentingan seseorang individu.

“Kita semua tahu Palanivel akan meninggalkan parti pada Mac 2016, jadi kenapa tidak boleh tunggu setahun lagi… kenapa perlu memporak-perandakan parti?” soalnya.

Murali berkata, pada masa ini MIC perlu menumpukan kepada langkah-langkah untuk mengembalikan keyakinan masyarakat India kepada parti dan kemudian barulah boleh diadakan pemilihan.

“Kekecohan yang berlaku pada Khamis lepas merupakan satu penghinaan kepada MIC… ia jelas sekali melampau batasan. Dulu adakan demontrasi terhadap (bekas presiden Datuk Seri S.) Samy Vellu, sekarang Palanivel dan nanti kalau Subramaniam mengambil alih jawatan presiden, itupun mereka akan tentang tak lama lagi. Ia akan menjadi suatu trend. Hentikan perkara sebegini daripada berulang,” katanya.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");