Perak Hari Ini

Penduduk Berhampiran Sungai Perak Diminta Mengambil Langkah Berjaga-Jaga -Zambry

SUNGAI SIPUT: Penduduk yang tinggal berhampiran dengan Sungai Perak dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi situasi banjir yang sedang berlaku di sepanjang sungai tersebut.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, ia berikutan pengaliran air di sungai tersebut sedang menuju ke beberapa daerah lain di sepanjang Sungai Perak.

“Saya menyeru kepada semua penduduk bukan hanya kawasan di Hulu Perak tetapi juga Perak Tengah dan Hilir Perak supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

“Hal ini kerana taburan hujan yang luar biasa dan hujan tanpa henti di Gerik menyebabkan aliran air deras dan paras air semakin meningkat.

“Kita telah pun memantau sejak semalam daripada segi kedudukan kawasan-kawasan yang berhampiran dengan Sungai Perak kerana pengaliran air sekarang ini mengalir dari Hulu sedang menuju ke kawasan Hilir.

“Jadi kawasan-kawasan yang terdekat seperti semalam umpamanya di kawasan lenggong serta Gerik dan hari ini air telah mengalir ke Sungai Siput dan kita jangkakan pengaliran air tersebut akan terus ke Parit seterusnya ke kawasan Teluk intan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat kawasan penempatan banjir di Sekolah Kebangsaan Kampung Lasah.

Dalam usaha untuk memastikan semuanya dapat dilaksanakan dengan teratur, beliau berkata lagi, penduduk diminta memberikan kerjasama yang sewajarnya dengan pihak yang berkenaan.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan penduduk-penduduk khususnya yang tinggal berhampiran kawasan tebing sungai supaya dapat mengikut nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Saya juga meminta kepada mereka supaya dapat bekerjasama bagi memastikan supaya urusan yang berkaitan dengan soal persiapan ataupun sekiranya berlaku banjir di kawasan mereka dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.

Dalam pada itu, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) katanya, terpaksa melepaskan air di empat empangan yang berada di sepanjang sungai tersebut bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Saya dimaklumkan bahawa taburan hujan yang turun di Gerik lebat dan sudah lima hari berturut-turut hujan tanpa henti sehingga melibatkan takungan air semakin meningkat di empat empangan tersebut.

“Jadi, bagi mengelakan perkara yang tidak diingin dan sebagai langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan di empangan yang ada, pihak TNB perlu mengeluarkan lebihan air yang telahpun naik melebihi tahap maksima.

“Namun, pelepasan air yang dikeluarkan adalah pada kadar yang dikawal,” jelasnya lagi.

Sementara itu, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah menubuhkan pusat bagi mengatasi masalah banjir yang berlaku di negeri itu.

“Kita telah menubuhkan pusat-pusat untuk mengatasi masalah ini iaitu dipanggil Pusat Bersama yang dipengerusikan oleh pegawai daerah.

“Ia juga melibatkan semua jabatan penting antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan ini terletak dibawah jawatankuasa bencana,” kata beliau lagi.

Beliau juga mengalu-alukan sekiranya terdapat pihak yang ingin memberikan kerjasama dalam memberi bantuan kepada mangsa banjir di kawasan tersebut.

Terdahulu, seramai 413 orang daripada 105 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan SK Kampung Lasah berikutan kawasan perumahan mereka dinaiki air.

Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 899 orang mangsa yang ditempatkan di enam pusat pemindahan yang di buka di Sungai Siput apabila kawasan itu terlibat dalam banjir.

Antara pusat pemindahan yang dibuka adalah Dewan Talang Tengah, Pulau Mentimun, Sungai Siput yang menempatkan seramai 193 mangsa, Dewan Besar Felda Sungai Lasah (50), Surau Kampung Makmur (87), dan Dewan Kampung Trosor seramai 58 orang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");