Laporan Eksklusif

Penuhi keperluan ladang

Putrajaya: Seramai 12,000 pekerja Bangladesh akan di bawa masuk ke Sarawak seawal tahun depan bagi memenuhi keperluan sektor perladangan di negeri berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu diumumkan Najib pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina di Bangunan Perdana Putra di sini, semalam.

Pada kunjungan hormat itu, satu memorandum persefahaman (MoU) mengenai penambahan pekerja Bangladesh ditandatangani di mana Malaysia diwakili Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot dan Bangladesh pula diwakili Menteri Dalam Negeri Bangladesh Asaduzzaman Khan.

Najib berkata, penambahan seramai 12,000 pekerja Bangladesh di Sarawak adalah satu keperluan, namun secara dasarnya keperluan pekerja perladangan di Sarawak mencecah seramai 62,000 orang.

Menurutnya, MoU berkenaan adalah satu permulaan dan kerajaan juga boleh menimbangkan penambahan pekerja Bangladesh pada masa akan datang sekiranya mereka dapat menyesuaikan diri.

“Pertemuan itu banyak memberi fokus kepada peluang pekerjaan untuk pekerja-pekerja Bangladesh di Malaysia.

“Buat masa ini, seramai lebih 200,000 pekerja dari Bangladesh yang disahkan secara undang-undang bekerja di negara ini membabitkan pelbagai sektor termasuk pembinaan dan pengilangan,” katanya.

Katanya, pertemuan dengan Sheikh Hasina antara lain turut membincangkan bagaimana negara boleh mempertingkatkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Bangladesh selain mengambil kira bahawa kedua-dua banyak persamaan dari segi isu antarabangsa selain persamaan budaya dan agama.

Najib berkata, perbincangan turut menyentuh pembabitan syarikat tempatan di Bangladesh di mana Malaysia adalah antara pelabur terbesar di negara berkenaan buat masa ini.

Menurutnya, Malaysia terbabit dalam sektor infrastruktur telekomunikasi, perubatan, penjanaan tenaga dan perumahan di negara berkenaan.

“Selain itu, kita juga melihat peningkatan sebanyak 60 peratus dari segi bilangan pelancong dari Bangladesh ke Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Najib juga melahirkan penghargaan di atas bantuan diberikan Bangladesh terutama dalam usaha Malaysia mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 di Teluk Benggala.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Sheikh Hasina di atas luahan simpati beliau ke atas tragedi menimpa pesawat MH17,” katanya.

Sementara itu, Sheikh Hasina berkata, beliau mempelawa pelabur dan usahawan Malaysia untuk menyertai sebahagian daripada fasa pertumbuhan Bangladesh pada masa depan.

Menurutnya, beliau juga berharap agar ahli perniagaan Malaysia akan menjadikan Bangladesh sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing di peringkat Asia Pasifik.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");