Perak Hari Ini

Peruntukan Tambahan Kepada Mangsa Banjir Akan Dibuat Selepas Penilaian – Ahmad Maslan

IPOH : Peruntukan tambahan untuk membantu mangsa banjir di negeri yang terlibat akan bertambah mengikut jumlah kerosakan yang dialami kawasan yang terjejas dalam kejadian itu.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Ahmad Maslan, banyak aspek perlu diteliti dan dibuat penilaian oleh kementerian yang terlibat bagi menambah peruntukan tersebut.

“Kerajaan sebelum ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta dan semalam Perdana Menteri pula mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta lagi untuk membantu mangsa-mangsa ini.

“Namun, peruntukan ini tidak termasuk dengan jalanraya, sekolah, bangunan kerajaan, dan masjid yang rosak.

“Jadi kalau mengambil kira semua itu, peruntukan akan lebih daripada apa yang telah diumumkan tersebut,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada lima buah kampung di Kuala Kangsar hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Maslim Sham Razman dan ADUN Manong, Mohamad Kamil Shafie.

Ujarnya, pelbagai agensi akan membuat penilaian terhadap barangan serta bangunan yang rosak dan jumlah peruntukan akan ditambah mengikut anggaran kerugian tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga akan memberi bantuan kepada mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal akibat dihanyutkan dan musnah dalam kejadian banjir tersebut.

“Perdana Menteri sudah menyebut semalam bahawa beliau bersetuju untuk membina rumah sementara bagi mangsa banjir.

“Ada rumah mangsa yang musnah sepenuhnya dan tidak boleh dibaiki dan ini merupakan kes khas yang perlu kita ambil perhatian kerana takkan mereka hendak tinggal di sekolah selamanya,” jelas beliau lagi.

Sementara itu, beliau berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan oleh pihak yang terbabit dalam memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Kuala Kangsar.

“Hari ini saya mengetuai kumpulan Kementerian Kewangan bersama dengan Kastam, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan juga Pejabat Perdana Menteri untuk memberikan sumbangan barangan makanan yang terutamanya kepada lima pusat pemindahan di Kuala Kangsar ini.

“Saya dapati segala kemudahan yang diberikan itu adalah baik belaka dimana mereka menempatkan mangsa banjir di sini ditempat yang sempurna.

“Saya melihat petugas-petugas daripada Kementerian Kesihatan juga turut hadir dan ini merupakan satu perkara yang baik selain daripada pelbagai agensi,” ujarnya.

Beliau berharap agar bantuan yang dihulurkan tersebut dapat memulihkan keadaan seperti sedia kala serta kesihatan dan keselamatan mangsa banjir itu dapat diutamakan.

Selain itu, bantuan itu juga katanya lagi, menunjukkan keprihatinan kerajaan melalui pelbagai agensi, badan bukan berkanun (NGO) dan orang perseorangan dengan sumbangan kepada pusat-pusat pemindahan banjir tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");