Membawang Hari Ini

Pesona belum terserlah

Bagaimanapun, kerjaya seni Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan, 28, kebelakangan ini ternyata agak hambar dan kali terakhir jejaka kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu tampil dengan single adalah tahun lalu.

Single hasil kolaborasinya dengan juara AF5, Mila Jirin berjudul Cinta Kasih itu juga tidak begitu memberi impak dan penyanyi itu kembali senyap.

Jika dibandingkan dengan bintang kelahiran AF yang lain, sejujurnya Nubhan juga mempunyai pesona untuk bersinar di persada seni. Hakikatnya, masih ramai mengenali jejaka terbabit namun sekadar kenal macam itu saja.

Daripada sisi kerjayanya, paling-paling pun dia diingati menerusi lagu Ada Untukmu yang benar-benar mengangkat namanya sejak memulakan karier beberapa tahun lalu.

Entah kenapa, sukar baginya untuk membina tapak kukuh dalam bidang seni suara sebagaimana rakannya yang lain seperti Stacy, Hafiz, Hazama dan Akim padahal suaranya boleh tahan.

Lantas, bertemunya baru-baru ini, dia sendiri mengakui bingung kerana bukannya dia tidak berusaha. Bahkan sudah memijak platform seperti separuh akhir Muzik-Muzik menjadikan pencapaiannya tidak kurang membanggakan juga.

Belum tiba masanya, itulah yang bermain di otaknya kini kerana jika menilai daripada segi bakat, Nubhan yakin terhadap kelebihan pada dirinya.

“Bukannya tidak pernah menyertai pertandingan nyanyian, namun saya rasa ralat apabila sudah hampir selangkah ke pentas besar, akhirnya terkandas. Itulah yang saya alami setiap kali bertanding untuk Muzik-Muzik yang mana selama beberapa tahun hanya mampu sampai ke peringkat separuh akhir saja.

“Tetapi nampaknya masa saya belum tiba dan apa yang perlu saya buat sekarang adalah terus menanti,” katanya.

Menyedari peluang tidak berapa menyebelahinya, pun begitu dia tidak pernah tawar hati terhadap bidang nyanyian kerana baginya itulah yang diminatinya sampai bila-bila.

Hakikatnya, kerana itulah juga dia mahu sentiasa tampil dengan lagu baru sebagai petanda dia masih serius menjadi seorang anak seni.
“Situasi yang saya sedang alami sekarang tidaklah sampai membuatkan saya patah hati dan berasa tertekan untuk terus menyanyi.

Tawaran persembahan masih tidak putus, ada saja yang datang setiap minggu. Syukur sangat, masih ramai yang menaruh kepercayaan terhadap bakat saya sehingga kini,” katanya.

Kahwin tahun depan

Terbaru, kembali mempertaruhkan single terbaru berjudul Kisah Kasih ciptaan Ajai, Nubhan bagaimanapun tidak menyifatkan ‘comeback’ itu sebagai penjenamaan semula dirinya.

Sebaliknya, ia lebih kepada tugasnya sebagai penyanyi untuk terus hadir dengan lagu baru. Dimuatkan dalam albumnya berjudul Romantika yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, Nubhan mengambil sikap tidak terlalu mengharap.

“Saya akui lagu Cinta Kasih dengan Mila tahun lalu kurang menjadi dan untuk lagu terbaru ini juga saya tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi. Bagaimanapun, saya lega apabila baru dilancarkan, lagu itu sudah mendapat reaksi yang agak memberangsangkan daripada peminat,” katanya.

Berkenalan dengan Afifah Hidayah, 25, beberapa tahun yang lalu di Pulau Pangkor, Nubhan juga akhirnya mengikat pertunangan dengan penuntut jurusan doktor gigi itu, Oktober lalu.

Sempat berkongsi berita gembira berkenaan, penyanyi itu juga merancang akan melangsungkan perkahwinan tahun depan sebaik tunangnya tamat pengajian di Mesir.

“Kami berkenalan sekitar 2009 lalu dan selepas dua tahun berkawan barulah kami menjalin hubungan serius. Belum memutuskan sebarang tarikh untuk perkahwinan kami yang pasti majlis itu akan diadakan selepas dia tamat pengajian,” katanya.

Sementara itu, di samping memenuhi pelbagai tawaran persembahan, Nubhan juga sudah berjinak-jinak dengan dunia perniagaan.

Memfokuskan kepada produk kesihatan yang diberi nama Juwita Divine, dia juga berimpian untuk memperluaskan perniagaan berpangkalan di Kota Damansara, Selangor, itu ke tempat lain.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");