Laporan Eksklusif

PM Gesa Tingkatkan Usaha Menyelamat Mangsa Banjir

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini menggesa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (JPBN) meningkatkan usaha membantu mangsa banjir terutama di kawasan terjejas teruk dan berisiko tinggi.

JPBN yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun dimaklumkan supaya bertindak dengan lebih agresif memandangkan keadaan banjir di beberapa negeri kini semakin teruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di sesetengah kawasan meningkat dengan mendadak.

“Saya telah meminta Timbalan Perdana Menteri mempertingkatkan lagi operasi penghantaran bantuan berupa makanan berikutan wujudnya kesukaran untuk sampai ke kawasan banjir tertentu.

“Saya diberitahu antara punca utama usaha memindahkan mangsa-mangsa banjir dan penghantaran barang makanan agak sukar dilakukan di sesetengah tempat adalah disebabkan paras air yang sangat tinggi, arus deras yang merbahaya untuk kenderaan dan bot penyelamat di samping ada pusat pemindahan yang turut ditenggelami air,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Beliau juga sedia maklum bahawa usaha penghantaran bantuan menerusi helikopter terganggu berikutan cuaca buruk yang menyukarkan penerbangan dilakukan.

Katanya, terdapat beberapa kawasan tertentu yang mana helikopter tidak dapat mendarat untuk menurunkan bantuan berikutan tiada lokasi sesuai berhampiran pusat pemindahan.

Bagaimanapun, beliau yakin pasukan penyelamat yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan anggota sukarelawan sedang bertungkus lumus untuk memberikan bantuan yang terbaik termasuk mencari ikhtiar untuk sampai juga ke lokasi pemindahan yang sukar bagi menyalurkan segala bantuan yang ada.

Justeru katanya, kerajaan akan memastikan agar segala usaha dilakukan bagi membantu semua mangsa menghadapi banjir yang begitu mencabar pada tahun ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");