Berita Hari Ini

Projek MRT Line 2 Bermula November 2015

MASS Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) merancang untuk memulakan pembinaan laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (MRT Line 2) bermula November tahun hadapan.

MRT Line 2 akan menghubungkan Sungai Buloh ke Putrajaya menerusi Serdang menggunakan laluan kereta api bawah tanah dan laluan tergantung.

“Perkara ini masih lagi di peringkat cadangan kerana pertama sekali kita perlu memaklumkan ia kepada orang ramai, mendapat maklum balas dan selepas itu mendapat kelulusan daripada kerajaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid.

Beliau berkata demikian semasa taklimat mengenai perkembangan projek laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (MRT Line 1).
Semasa sesi ini, beliau mendedahkan jajaran yang dicadangkan untuk MRT Line 2 akan mempunyai sebanyak 40 stesen dengan 31 laluan tergantung dan sembilan dibawah tanah.

Landasan sepanjang 59.5 kilometer itu akan bermula dari Kepong ke Jalan Sultan Azlan Shah (Jalan Ipoh), Kampung Baru, KLCC Timur, Padan Jaya, Pandan Mewah, Plaza Phoenix kemudian menghala ke Mines, Serdang dan Putrajaya Sentral.

Laluan yang dicadangkan dalam MRT Line 2

Sepanjang laluan itu, MRT Line 2 juga akan dihubungkan dengan dua stesen MRT Line 1 iaitu Tun Razak Exchange (TRX) dan Taman Connaught (Plaza Phoenix).

Turut akan disediakan depot kecil di stesen Serdang.

Jumlah jarak laluan tergantung adalah sepanjang 49.3 km manakala laluan bawah tanah, 10.2 km.

“Kita masih dalam proses melengkapkan laluan ini dan sesi paparan awam dijadualkan pada Mac 2015,” katanya.

Azhar berkata, kelulusan penjajaran terakhir akan dimuktamadkan pada Ogos tahun hadapan dengan panggilan tender untuk kontrak bawah tanah dilakukan pada September.

Pada Ogos, proses tender untuk kontrak laluan tergantung akan dipanggil dan syarikat yang mendapat projek tersebut diumumkan pada November 2015 untuk kerja-kerja pembinaan.

“Kami mahu kerja dilakukan serentak dan secepat mungkin supaya kami boleh menyediakan sistem pengangkutan awam terbaik kepada penduduk di Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata, semua kerja tersebut adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memperbaiki dan mengintegrasikan sistem pengangkutan awam di Lembah Klang.

Pada masa sama, beliau turut menjelaskan mengenai perkembangan MRT Line 1 yang kini sedang berjalan mengikut jadual.

Katanya, sehingga Oktober lalu, MRT Line 1 sudah 55.21 peratus siap.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");