Berita Hari Ini

RCI Sabah: Kabinet Sabah Mahu Tindakan Drastik Terhadap Pati

KOTA KINABALU: Kabinet Negeri Sabah mahukan pihak berkuasa berkenaan mengambil tindakan drastik bagi menyelesaikan buat selamanya isu pendatang asing tanpa izin di negeri ini.

Menyatakan demikian, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata kabinet negeri menyambut baik pengumuman hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pendatang asing tanpa izin (PATI) dan menyokong syor bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memenuhi janjinya bagi pembentukan RCI dan mengumumkan hasil siasatannya,” kata Musa dalam satu kenyataan di sini.

Laporan RCI itu bertajuk Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa di sini Rabu.

Musa berkata adalah penting langkah-langkah konkrit diambil bagi menentukan salah laku mengeluarkan dokumen pengenalan Malaysia seperti ini untuk keuntungan kewangan tidak berulang.

Sebarang usaha sindiket yang boleh menggugat kewibawaan negara perlu dihapuskan dan mereka perlu dikenakan tindakan undang-undang, katanya.

Beliau berkata kabinet negeri menyambut baik perakuan bagi penubuhan jawatankuasa tetap mengenai warga asing yang akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan beliau sendiri di samping jawatankuasa kerja dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Dalam pada itu, Musa berkata kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan dalam mengatasi isu berhubung pendatang tanpa izin di negeri ini.

Beliau berkata pihak berkuasa relevan seperti polis, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen bekerjasama rapat menerusi operasi bersepadu seluruh negeri bagi menghantar balik pendatang tanpa izin.

“Adalah menjadi harapan saya rakan-rakan kita di negara-negara jiran akan membantu kita dalam usaha ini dengan cara memudahkan warganegara mereka pulang ke negara asal masing-masing,” kata beliau.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");