Jenayah

‘Selamat tinggal cikgu’

Temerloh: Hasrat dua sahabat mahu menghadiri majlis perpisahan guru tidak kesampaian apabila mereka terbunuh selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 7, Jalan Temerloh-Jerantut, berhampiran Plaza Tol Temerloh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa Mohd Syafiq Azman, 18, dari Kampung Bukit Tingkat, di sini, dan pemboncengnya Ahmad Radzuan Abdul Samad, 16, dari Kampung Lubuk Kawah, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Anuar Othman berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan menghala ke Giat Mara, Kuala Krau, dari arah bandar ini untuk menghadiri majlis perpisahan guru mereka.

“Ketika tiba di tempat kejadian, Mohd Syafiq dipercayai tidak sempat mengelak sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun yang datang dari arah bertentangan dan cuba masuk ke simpang tanpa memberi lampu isyarat sebelum bertembung,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa terpelanting dan terjatuh di atas jalan serta meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH), di sini, untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, pada masa sama, pemandu lori itu yang berasal dari bandar ini ditahan di Balai Polis Trafik Temerloh untuk menjalani ujian air kencing selain polis akan mengambil sampel darah bagi mengesan kandungan alkohol atau pengaruh dadah.

Mohd Anuar berkata, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang juga kenalan mangsa, Zulkarnain Zakaria, 20, berkata, dia yang mengekori dari jarak jauh sempat melihat mangsa terpelanting dan terjatuh di atas jalan sebelum memecut motosikal dinaikinya bersama rakan untuk membantu kedua-dua mangsa.

“Sebaik saja memangku mangsa, saya cuba memanggil namanya beberapa kali selain mengajar dua kalimah Syahadah sebelum kedua-dua mangsa meninggal dunia di pangkuan saya bersama rakan,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");