Jenayah

Sembunyi syabu RM1.2j

Lahad Datu: Taktik dua lelaki menyembunyikan lebih enam kilogram (kg) syabu bernilai RM1.2 juta di dalam kotak perkakas kereta tidak menjadi, apabila pemeriksaan polis berjaya menemui dadah itu dalam operasi khas di Kilometer 2, Jalan Tungku, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi, pemandu berusia 43 tahun bersama rakannya, dipercayai warga asing berusia 33 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, pemeriksaan terhadap pikap dinaiki dua suspek itu, akhirnya menemui 6,032 gram yang disorokkan di bawah kerusi belakang kenderaan terbabit.

“Hasil maklumat awam, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik mengesan sebuah pikap Toyota Hilux dinaiki dua lelaki, sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

“Sebuah kereta peronda berjaya memintas pikap dinaiki suspek dalam perjalanan dari Tungku ke bandar ini sebelum diarahkan berhenti untuk pemeriksaan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Hamzah berkata, pemeriksaan menemui satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi bahan terlarang disyaki dadah jenis syabu seberat 2,011 gram disembunyikan di dalam ‘box kit’ bawah tempat duduk penumpang belakang sebelah kanan.

“Susulan itu, pemeriksaan lanjut turut menemui satu lagi bungkusan plastik lutsinar mengandungi bahan sama seberat 2,011 gram, juga disembunyikan dalam kotak perkakas kereta di bawah tempat duduk penumpang belakang sebelah kiri.

“Pemeriksaan lanjut menemui satu beg plastik mengandungi satu bungkusan plastik lutsinar dipercayai dadah jenis syabu seberat 2,010.55 gram disembunyikan di bawah tempat duduk belakang,” katanya.

Menurut Hamzah, berat keseluruhan dadah dirampas dianggarkan 6,032 gram dan bernilai RM1.2 juta.

“Dua suspek iaitu warga tempatan berusia 43 tahun dan rakannya berusia 33 tahun didapati turut positif dadah,” katanya.

Hamzah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati, jika disabitkan kesalahan.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");