Berita Hari Ini

Siasatan menyeluruh

Subang: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan melakukan bedah siasat secara terperinci untuk mengenal pasti punca fenomena banjir luar biasa di beberapa negeri ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tumpuan kajian adalah berdasarkan faktor utama termasuk perubahan cuaca dan iklim, penerokaan hutan serta penarahan bukit tidak terkawal.

“Penggondolan bukit dan kekurangan infrastruktur untuk mengalirkan air ke laut juga akan diambil kira dalam kajian selepas keadaan pulih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat dan taklimat penghantaran bantuan di Pusat Pengumpulan Bantuan Bencana Banjir di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini, semalam.

Terdahulu beliau menerima sumbangan bantuan banjir berjumlah RM1 juta daripada Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad Datuk Teh Kean Ming.

Sehingga kini sebanyak 200 tan metrik bantuan dihantar melalui pusat berkenaan sejak dibuka baru-baru ini.

Mengenai operasi pengagihan bantuan Muhyiddin mengakui terdapat kekangan aset bagaimanapun segala-galanya berjalan lancar.

Beliau berkata, syarikat penerbangan seperti AirAsia dan Malaysia Airlines Cargo Sdn Bhd (MASkargo) turut digembleng bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan semua barangan sampai kepada mangsa banjir.

“Saya juga cukup terharu dengan sokongan rakyat sebab banyak barangan dihantar kepada mangsa banjir datang daripada pelbagai pihak di seluruh negara,” kata beliau.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, keutamaan diberikan untuk penghantaran bantuan makanan dan perubatan yang diperlukan hospital di kawasan terbabit banjir.

Kata beliau lagi, bantuan pakaian yang disumbangkan hanya akan dihantar selepas keadaan banjir pulih.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");